HARIMAU Muda akhirnya mengesahkan tiket ke saingan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Qatar tahun depan selepas muncul selaku pasukan naib juara terbaik peringkat kumpulan.
Skuad kendalian E. Elavarasan itu menjadi pasukan terakhir layak selaku naib juara terbaik bersama Kuwait, Tajikistan dan China.
Harimau Muda terpaksa menunggu keputusan semua perlawanan kumpulan selepas gagal mara secara automatik ditundukkan Thailand 0-1 dalam aksi terakhir Kumpulan H pada Selasa.
Skuad muda negara perlu bersaing dengan Iran yang sebelum itu tewas kepada Uzbekistan 0-1 sekali gus memiliki mata dan jumlah jaringan yang sama dengan pasukan negara.
Namun, nasib menyebelahi Harimau Muda apabila peraturan mata disiplin dikira dengan Malaysia layak kerana hanya mengutip empat kad kuning berbanding Iran yang mendapat sembilan kad kuning.
Meskipun layak ke Piala Asia B-23 corak permainan pemain-pemain muda negara telah dikritik hebat antaranya Luqman Hakim yang berkelana ke Eropah bersama K.V. Kortrijk (Belgium) dan dipinjamkan ke UMF Njardvik (Iceland) musim ini.
Penyokong bola sepak mula mempertikai kualiti yang ada pada Luqman selepas sudah hampir empat tahun menimba ilmu di Eropah yang mana dilihat tiada perbezaan malah prestasinya semakin merosot.
Adakah bola sepak Eropah membunuh bakat anak-anak tempatan? Majoriti senaraikan tiga pemain gah dalam negara tetapi hanya berstatus amatur di luar negara:
Diniz ketika mewakili Eddersheim SV di Jerman.
1. Muhammad Diniz Irwan
Namanya pernah mengegarkan arena bola sepak negara selepas mendapatkan kontrak untuk bermain bola sepak di Eropah bersama kelab Jerman.
Muhammad Diniz Irwan sekitar 2019 pernah mendapat tawaran daripada bekas jurulatihnya, Alex Kuschman untuk bermain dengan kelab TuS Hornau di Jerman yang mana pasukan itu beraksi dalam liga divisyen keenam negara itu.
Diniz pernah bersama Kuschman, yang merupakan bekas jurulatih Borussia Dortmund bawah 15 tahun semasa jurulatih Jerman itu berada di Malaysia.
Pernah berlatih di Cardiff City (England) dan Valencia (Sepanyol), perkembangan pemain muda itu terus senyap dari arena bola sepak negara selepas terpalit dengan isu berisiko dipenjarakan susulan tunggakan yuran tahunan sekolah di Jerman.
Kali terakhir bekas pemain Selangor United yang pernah dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan Bawah 18 Tahun (B-18) pada 2019 itu beraksi bersama skuad simpanan Eddersheim SV, namun difahamkan tanpa menandatangani kontrak profesional.
Kini menerusi Instagram peribadinya tiada sebarang perkembangan mengenai aktiviti bola sepak dan kali terakhir dikemas kini pada 2020.
Alle baru bergelar pemain profesional selepas menandatangani kontrak bersama TRW. — Facebook/Kelantan FC
2. Alle Putra Azril
Penyokong Kelantan FC pastinya mengenali Alle Putra Azril yang baru menyertai The Red Warriors (TRW) semasa jendela perpindahan kedua bulan lalu.
Pemain berusia 18 tahun itu sebelum ini hampir dua tahun berlatih di Akademi Malaga City FC, Sepanyol sebelum pulang menyertai Kelantan.
Mula berkelana ke Eropah ketika berusia 15 tahun, Alle gagal memikat mana-mana kelab di Sepanyol untuk menandatanganinya sekali gus kembali semula ke Malaysia.
Apabila bercakap mengenai corak permainan Alle, tiada perbezaan yang dapat dibuat dengan pemain-pemain yang menerima ilmu bola sepak di negara ini.
Kurang pengalaman mungkin salah satu faktor Alle masih belum dapat menyesuaikan diri dengan suasana Liga Malaysia.
Annil ketika beraksi bersama SGV Freiburg.
3. Annil Vigneswaran
Nama Annil Vigneswaran antara pemain pertahanan yang dicanang bakal menggantikan tempat bintang Harimau Malaya seperti Shahrul Saad, Dominic Tan dan Junior Eldstal pada tiga tahun lalu.
Kini Annil tidak mempunyai kelab tatkala jendela perpindahan Eropah sudah pun menutup tirainya pada 31 Ogos lalu.
Pernah beraksi bersama kelab yang beraksi di divisyen ketiga liga bola sepak Jerman, SV Sandhausen.
Pemain berusia 20 tahun itu antara sebahagian daripada skuad B-23 negara yang beraksi di peringkat kelayakan AFC B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia pada 2021.
Sebelum ini, penyenaraian Annil dalam skuad negara mencetus tanda tanya namun bekas ketua jurulatih B23, Brad Maloney menyatakan beliau dan staf kejurulatihan sudah lama memantau perkembangan pemain pertahanan itu.
Sebelum bergelar ejen bebas, Annil mewakili Freiburger FC di liga divisyen keenam Jerman namun dilepaskan pada Julai lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram