Langsung tak pernah beraksi, kelibat pemain import petanda masih setia bersama TRW


  • Podium
  • Khamis, 14 Sep 2023

Sebelum ini Majoriti melaporkan Sesay telah meninggalkan Kelantan selepas TRW gagal mendaftarnya sebagai pemain import. — Agensi

BAGAIMANA agaknya perasaan penyokong pasukan Kelantan FC selepas media melaporkan beberapa indivindu berminat untuk mengambil alih kelab itu dari pemilik sedia ada, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham?

Antara individu yang berminat menjadi penyelamat bola sepak Kelantan ialah Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih mesra dipanggil Datuk Seri Vida (DSV).

Namun kini khabar berita itu semakin tidak diperkatakan orang ramai, malah terus senyap selepas Zamsaham menyatakan tiada seorang pun dari individu berminat menunjukkan kesungguhan untuk membeli The Red Warriors (TRW).

Laporan peralihan pengurusan itu timbul selepas TRW terpalit isu masalah tunggakan gaji selain kegagalan pihak pengurusan mendaftar pemain import baharu semasa jendela perpindahan kedua Liga Malaysia pada bulan lalu.

Kelantan FC

Pemain import yang dipercayai Yi-chan semasa latihan TRW baru-baru ini. — Facebook/Alif Baihaqi

Ia secara tidak langsung mencetuskan rasa amarah penyokong terhadap Zamsaham yang mana ada pemain import meninggalkan pasukan walaupun sudah diperkenalkan secara rasmi oleh pihak pengurusan.

Tolak tepi mengenai isu gaji dan kegagalan pendaftaran pemain import, salah seorang penyokong Alif Baihaqi berkongsi gambar latihan TRW yang mana menarik minat orang ramai di media sosial.

Menerusi perkongsian gambar penyokong itu, dipercayai salah seorang pemain import masih kekal meneruskan latihan di kem Kelantan walaupun tidak dapat beraksi sepanjang musim ini.

Dipercayai pemain import tersebut ialah Kang Yi-chan yang telah beraksi bersama Kelantan sejak awal musim lalu.

Alie Sesay

Sebelum ini Sesay diperkenalkan sebagai pemain import baharu Kelantan. — Agensi

Pemain kelahiran Korea Selatan itu sebelum ini sudah melakukan lima penampilan bersama Kelantan dan beraksi di posisi sayap kanan.

Yi-chan beraksi untuk beberapa kelab dalam Liga Korea Selatan iaitu Gangwon FC, Jeju United dan Kyung Hee University.

Untuk rekod, Kelantan kini menghitung nasib sama ada bakal turun ke Liga M3 selepas dihimpit pelbagai kontroversi luar dan dalam padang serta menghuni tangga ke-13 Liga Super.

Sebelum ini, Kelantan memperkenalkan Aliakbar Ahmadi, Dennis Buschening, Alie Sesay dan Ahmed Magdy namun gagal mendaftar mereka. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram