Bersinar dalam skuad malap, jeneral 28 tahun jadi sandaran misi balas dendam di Darul Makmur


  • Podium
  • Ahad, 17 Sep 2023

Ruziev mula menerima tempat dalam hati penyokong Sri Pahang FC atas persembahannya yang konsisten. — Facebook/Sri Pahang FC

MESKIPUN beraksi dengan baik pada separuh masa kedua, Sri Pahang FC terpaksa akur dengan kekalahan dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC.

Dalam pertemuan yang berlangsung di Stadium Cheras, KL pada Ahad, pihak pelawat bermain dengan cemerlang pada 45 minit pertama apabila mengawal permainan dengan hantaran-hantaran tenang.

Walaupun kurang melakukan percubaan ke arah pintu gol tuan rumah, skuad Tok Gajah memberikan sinar untuk membawa pulang bekalan mencukupi bagi perlawanan timbal balik.

Namun, situasi berubah pada babak kedua apabila skuad kendalian Fandi Ahmad seperti buntu di atas padang dalam merencanakan gerakan.

Perkara berkenaan berterusan sehingga minit ke-73 permainan apabila pertahanan Sri Pahang FC, Syazwan Andik melakukan asakan terhadap kapten tuan rumah, Paulo Josue dalam kotak penalti mereka.

Kekasaran berkenaan mendesak pengadil perlawanan, Zamzaidi Katimin memberikan sepakan penalti yang kemudiannya disempurnakan penyerang skuad Warga Kota, Romel Morales.

379926120_18387388267031124_7962471082678684498_n

Persembahan mantap Ruziev (tengah) menerima respons baik daripada penyokong Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Meskipun KL City FC terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Kenny Pallraj dilayangkan kad merah, tekanan mental yang dihadapi pemain Sri Pahang FC menyukarkan mereka mendapatkan jaringan penyamaan.

Persembahan skuad Tok Gajah secara keseluruhan pastinya menjadi bahan bualan penyokong kelab Pantai Timur terbabit yang berasakan persembahan pemain masih belum boleh diterima.

Bagaimanapun, di sebalik mereka yang kurang menyerlah, muncul jeneral tengah mereka, Kuvondik Ruziev yang beraksi dengan cukup baik.

Di samping tenang dalam mencipta peluang, pemain kebangsaan Uzbekitsan itu juga berani dalam membawa bola ke zon berbahaya dengan gelecekan yang kemas.

Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata penyokong Sri Pahang FC sempat memberikan pujian terhadapnya yang beraksi dengan cemerlang.

"Dia seorang sahaja yang bermain dengan bagus, yang lain menghampakan," kata Ahmad Bin Ab Aziz.

"Macam dia seorang sahaja yang bermain. Aku rasa tak lama dia kekal dengan Sri Pahang, asyik dia je yang kawal bola," kata Hafizan Pahang.

"Harapkan dia ni je lah yang rajin," kata Mohd Najmi Hakim Mustakqim.

Ruziev dibawa masuk pada pertengahan musim lalu dari kelab Uzbekistan, Navbahor Namangan, namun masih belum meraih sebarang gol dalam liga tempatan.

Tetapi, melihat kepada gaya permainannya, terdapat kemungkinan khidmatnya akan sekali lagi ditagih dalam aksi timbal balik Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Pahang pada 24 September. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram