PERLAWANAN suku akhir pertama Piala Malaysia antara Kuala Lumpur (KL) City FC menentang Sri Pahang FC menyaksikan skuad Tok Gajah tewas tipis 0-1 kepada pasukan Warga Kota.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Ahad, jaringan tunggal perlawanan dihadiahkan penyerang import pasukan The City Boys menerusi sepakan penalti Romel Morales pada minit ke-72.
Keputusan itu sekali gus membolehkan anak buah Nenad Bacina membawa kelebihan satu gol sebelum bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 24 September depan.
Bagaimanapun, defisit kekalahan tipis yang dicatatkan itu bukanlah mustahil untuk diatasi oleh skuad Sri Pahang FC, lebih-lebih lagi dengan mengambil kira kelebihan beraksi di tempat sendiri.
Sehubungan dengan itu, berikut Majoriti senaraikan tiga kelemahan perlu diperbaiki Sri Pahang FC dalam aksi kedua menentang KL City FC untuk membolehkan pasukan mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2023:
1. Perbaiki aspek bertahan ketika hantaran lintang dan sepakan penjuru
Sri Pahang FC dilihat bergelut untuk menangani hantaran lintang yang dibuat KL City FC dalam aksi pada Ahad. — MFL
Dalam aksi pada Sabtu lalu, anak buah Fandi Ahmad dilihat bergelut mengekang asakan pemain KL City FC khususnya yang datang dari bahagian pertahanan kiri pasukan.
Kelemahan itu menyebabkan skuad Tok Gajah terdedah kepada risiko hantaran lintang daripada pasukan lawan termasuk yang dilakukan menerusi sepakan penjuru.
Dalam aksi berkenaan, KL City fc memperolehi sebanyak tujuh sepakan penjuru dengan kebanyakannya terhasil daripada bahagian kiri padang.
Pada masa sama, skuad Warga Kota mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang keemasan yang terhasil daripada sepakan penjuru yang mencemaskan gawang Sri Pahang FC.
Barisan pertahanan pasukan dilihat berhadapan dengan kesukaran untuk mengawal beberapa pemain tinggi lampai dimiliki KL City FC seperti Romel, Paulo Josue dan Matko Zirdum.
Disebabkan itu, dalam perlawanan seterusnya, skuad Tok Gajah seharusya menutup ruang buat pasukan lawan daripada menghasilkan lebih banyak hantaran lintang dan termasuk untuk mendapat sepakan penjuru.
Pada masa sama, pertahanan kanan Sri Pahang, Azrif Nasrulhaq juga perlu diberikan perlindungan oleh pemain tengah dan sayap kanan pasukan.
2. Meningkatkan permainan kombinasi tembusi pertahanan lawan
Pemain seperti Aguero perlu lebih berani untuk membuat gerakan melalui bahagian tengah barisan pertahanan lawan. — MFL
Daripada sembilan rembatan yang dihasilkan dalam aksi Ahad lalu, hanya dua daripadanya adalah rembatan tepat ke sasaran gawang.
Rekod tersebut menunjukkan bahawa anak buah Fandi bergelut untuk membuat gerakan masuk ke dalam kawasan kotak penalti lawan bagi mencipta peluang lebih baik.
Pada masa sama, kebanyakan aliran serangan Sri Pahang FC dalam perlawanan itu juga dilihat lebih banyak dibuat melalui hantaran lintang yang kebanyakannya gagal tepat sampai ke ruang yang dimahukan penyerang Kpah Sherman.
Ia juga menyebabkan penyerang kelahiran Monrovia itu seakan-akan sukar untuk memberikan pengaruhnya dalam aksi tersebut.
Disebabkan itu, pemain tengah Sri Pahang FC terdiri daripada Azam Azih, Kevin Ingreso, Kuvondik Ruziev dan Sergio Aguero seharusnya lebih berani menonjolkan kualiti dimiliki dengan membuat gerakan kombinasi bagi memecah barisan pertahanan KL City melalui bahagian tengah.
Malah, cara tersebut dilihat lebih berkesan apabila berhadapan dengan pasukan mengamalkan corak bertahan dengan meletakkan lebih ramai pemain di belakang bola.
3. Buat pertukaran lebih awal
Fandi seharusnya lebih berani membuat pertukaran dengan lebih cepat sekiranya ada pemainnya yang beraksi di bawah tahap terbaik ketika perlawanan. — MFL
Dalam pada itu, antara isu yang mendapat kritikan peminat adalah kelewatan Fandi untuk membuat pertukaran pemain.
Ini kerana dalam aksi pada Ahad, barisan kejurulatihan hanya membuat keputusan untuk membawa masuk penyerang import baharunya, Rafael Silva pada kira-kira 15 minit terakhir perlawanan.
Tempoh tersebut dilihat agak lewat dan menyukarkan pemain kelahiran Brazil itu untuk memberikan pengaruh lebih berkesan terhadap barisan hadapan pasukan.
Disebabkan itu, Fandi seharusnya perlu lebih berani dan membuat keputusan dengan lebih pantas untuk membuat perubahan taktikal mahupun pemain ketika apabila melihat skuadnnya bergelut bersaing dengan lawan ketika tempoh 90 minit perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram