[VIDEO] Pantang larang coach belia JDT makan diri, kan dah melepas kekal kena ‘cop’ Gergasi Merah


  • Podium
  • Isnin, 18 Sep 2023

Juan Miguel ketika sidang media pra-perlawanan pentas akhir Piala Belia 2023. — Facebook/FAM

SELANGOR FC dinobatkan sebagai johan bagi Piala Belia 2023 menewaskan Johor Darul Takzim IV (JDT) dengan agregat 4-3 selepas menang 3-2 pada aksi final kedua di Stadium UITM, Shah Alam, Selangor FC pada Ahad.

Selepas terikat 1-1 dalam aksi final pertama pada minggu lepas di Stadium Majlis Perbandaran Kulai, Johor, kedua-dua pasukan tahu peluang menjulang Piala Belia masih lagi terbuka dan akhirnya kemenangan berpihak kepada skuad kendalian Mohd Khushairi Abd Wahab.

Dalam perlawanan akhir berkenaan, Adam Haikal, Amirul Izwan dan Ariz Zuhayr muncul penjaring buat skuad belia Selangor FC pada minit ke-58, minit ke-82 dan minit ke-89 masing-masing.

Manakala dua jaringan gol daripada skuad Harimau Selatan IV pula hadir menerusi sepakan dari Naim Zainuddin dan Danish Hakim masing-masing pada minit kelima dan ke-85.

Selepas aksi final yang memihak kepada pasukan berpangkalan di Lembah Klang itu, penyokong bola sepak domestik mula membuat gurauan terhadap pengendali JDT IV, Juan Miguel Munoz Rodriguez.

Ketika sidang media pra-perlawanan, pengendali dari Sepanyol itu menghangatkan suasana sebelum sepak mula apabila membuat keputusan tidak ingin menyentuh piala perlawanan.

Sambil membawa tradisi yang diguna pakai di negara asalnya Sepanyol, Rodriguez berseloroh ia menjadi pantang larang mana-mana pemain mahupun jurulatih bola sepak memegang piala kejohanan selagi ia bukan miliknya, memetik video Astro Arena.

isi dalam selangor

Selangor muncul Juara Piala Belia 2023 selepas menewaskan JDT IV pada Ahad. — Facebook/FAM

Pantang larangnya itu dilihat memakan diri apabila pasukan kendaliannya terlepas untuk meraih gelaran juara untuk saingan Piala Belia dan sekali gus tidak berkesempatan memegang trofi tersebut.

Demikian pantang larang yang menjadi kenyataan itu, ramai penyokong bola sepak tanah air turut mengambil peluang untuk menjadikannya ia sebagai bahan jenaka.

“Siapa suruh tak pegang kan dah selepas. Di Malaysia ini siapa cop dulu dia dapat,” kata penyokong, wafiyyyyy.

“Sampai ke sudah dia tak pegang,” tambah penyokong, sauq.

Dalam perlawanan berkenaan juga menjadi detik manis buat pemain Selangor, Izzat Syahir Zulihsan apabila muncul penjaring terbanyak iaitu 16 gol sepanjang kejohanan.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua berturut-turut Selangor FC berjaya meraih kejuaraan Piala Belia selepas pada musim 2022, Gergasi Merah turut dinobatkan juara bagi saingan ini selepas berjaya menundukkan Sri Pahang FC dengan agregat 2-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram