Brendan Gan mula 'goyah', kacukan England-Malaysia antara 3 pemain wajar diburu TCH musim depan


  • Podium
  • Ahad, 17 Sep 2023

Musim ini Clunan (kanan) beraksi untuk Scunthorpe United.

SELANGOR FC terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 di tangan pasukan tuan rumah, Terengganu FC selepas mempamerkan aksi buruk dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu pada Sabtu.

Antara pemain yang menerima kritikan daripada penyokong Selangor ialah Khuzaimi Piee dan penyerang import, Richmond Boakye.

Namun kapten pasukan juga tidak terlepas dari kritikan penyokong yang mana ada mendakwa dia sudah mula 'lemau' berikutan faktor umur.

Jika benar prestasi Brendan Gan mula menurun akibat faktor umur, ini memaksa pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe untuk mencari penggantinya dengan segera.

Penyokong-penyokong kini melihat Mukhairi Ajmal masih belum layak menggantikan Brendan sebagai jeneral di atas padang buat skuad Gergasi Merah yang hanya selangkah untuk beraksi di pentas Asia musim depan.

Majoriti senaraikan tiga pemain tengah yang perlu menjadi buruan Cheng Hoe sebelum bermula musim depan:

Stuart Wilkin

Wilkin merupakan antara tonggak utama Datuk Ong Kim Swee di Sabah.

1. Stuart John Wilkin

Stuart John Wilkin atau mesra disapa Wilkin seorang pemain tengah yang sedang meningkat naik bersama Sabah FC sejak musim lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu, mendapat ilmu bola sepaknya bersama kelab England, Southampton FC sebelum melebarkan sayapnya ke Amerika Syarikat pada 2021.

Terkenal dengan corak permainan yang tenang serta mempunyai skil rembatan jarak jauh yang tinggi, Wilkin bakal menjadi rebutan banyak pasukan selepas dia antara tonggak utama Kim Pan-gon.

Musim ini bersama Sabah, pemain kelahiran Woking, England itu telah menjaringkan enam gol dan dua bantuan jaringan (assist) dalam 22 penampilan terakhir di Liga Super setakat ini.

Manakala rekod bersama skuad kebangsaan pula, Wilkin berjaya mencatatkan empat gol dalam enam perlawanan terakhir.

Mike Clunan

Clunan dikatakan mempunyai hubungan dengan Malaysia.

2. Michael Edward Clunan

Pastinya anda tidak pernah mendengar nama pemain kelahiran England iaitu Michael Edward Clunan didakwa mempunyai hubungan dengan Malaysia.

Menerusi laporan @mixed.malaysian dalam Instagram pernah menyatakan bahawa Clunan yang beraksi di posisi tengah boleh beraksi untuk skuad kebangsaan.

Mempunyai rekod seperti Wilkin, Clunan pernah beraksi untuk Norwich semasa usia mudannya sebelum banyak beraksi di liga divisyen bawahan England.

Pemain berusia 29 tahun itu juga mempunyai personaliti pemimpin terbaik apabila dia dilantik sebagai kapten King's Lynn Town FC sebelum berhijrah ke Scunthorpe United musim ini.

Jika benar Clunan mempunyai hubungan dengan Malaysia, ia boleh memberi kelebihan buat skuad Gergasi Merah juga pasukan kebangsaan yang akan beraksi di Piala Asia tahun depan.

Azam Azih

Azam mewakili Sri Pahang FC sejak 2015.

3. Nor Azam Azih

Bintang Sri Pahang FC ini sering kali dikaitkan dengan pasukan Selangor acap kali jendela perpindahan Liga Malaysia membuka tirainya.

Mungkin ini peluang untuk Selangor dan Nor Azam Azih menjalinkan kerjasama bagi memperkukuhkan barisan tengah Gergasi Merah.

Umum mengetahui Cheng Hoe juga pernah bekerja rapat dengan pemain berusia 28 tahun itu semasa menjawat jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya.

Bersama Tok Gajah musim ini, Azam Azih sempat menjaringkan dua gol dan dua assist dalam 17 perlawanan Liga Super.

Selepas lapan tahun bersama Sri Pahang adakah Azam Azih akan mengambil cabaran baharu dengan menggantikan Brendan di Selangor musim depan? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram