'Setahun dah ni', bekas tonggak Ngap Sayot belum putus asa, mahu isu gaji diselesaikan


  • Podium
  • Selasa, 19 Sep 2023

Rata-rata pemain skuad Ngap Sayot mendedahkan mereka masih menuntut gaji daripada pihak pengurusan kelab. — Facebook/Sarawak United FC

SELEPAS gagal memperolehi lesen untuk berentap dalam Liga Super musim ini, Sarawak United terpaksa beraksi dalam Liga M3 anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL).

Situasi itu berpunca daripada keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang bertindak tegas setelah mendapati kelab Borneo berkenaan mempunyai masalah kewangan pada 2022.

Di samping kegagalan untuk membayar gaji pemain dan staf kejurulatihan, skuad Ngap Sayot turut difahamkan gagal menjaga kebajikan mereka.

Jadi, untuk mengelakkan isu tersebut daripada terus memburuk, badan bola sepak negara itu mengambil keputusan menarik semula lesen penyertaan kelab.

F6SgH6saUAAIxpi

Tangkap layar daripada keluhan yang dibuat Tauffiq di laman Instagram peribadinya.

Namun, persoalan turut timbul mengenai nasib pemain Sarawak United yang tidak menerima bayaran gaji dengan ada mengatakan tunggakan berkenaan sudah diselesaikan ataupun tidak.

Tanda tanya itu akhirnya terjawab apabila baru-baru ini, bekas penjaga gol skuad Ngap Sayot, Tauffiq Ar-Rasyid Johar membuat satu hantaran di Instagram peribadinya.

"Setahun dah ni. Takkan sabar lagi? Mana janji, mana gaji?" soalnya sambil menyertakan logo Sarawak United dalam persoalan ringkas berkenaan.

Selepas skuad Ngap Sayot terpaksa beraksi dalam Liga M3, pemain berusia 27 tahun terbabit memilih untuk mengikat kontrak bersama Negeri Sembilan FC.

292001361_145952308039578_7348400989196427733_n

Tauffiq meluangkan tempoh semusim bersama skuad Ngap Sayot pada 2022. Facebook/Sarawak United FC

Bagaimanapun, kehadirannya kurang memberikan impak apabila dia masih belum mencatatkan sebarang penampilan buat skuad Jang.

Dalam satu pendedahan daripada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini, hutang yang ditanggung Sarawak United mencecah lebih RM400,000.

Selain kelab Borneo itu, sebuah lagi bekas pasukan Liga Super, Melaka United turut berdepan skrip sama apabila mereka turut disingkirkan ke Liga M3.

Jumaat lalu, seorang lagi bekas pemain Ngap Sayot, S Venod turut mengambil pendekatan seperti Tauffiq dengan mendesak tunggakan gaji dapat diselesaikan menerui satu hantaran di InstaStory peribadinya.

Tetapi, sehingga kini, pihak pengurusan kelab masih memilih pendirian untuk terus berdiam diri meskipun tuntutan terus dibuat pemain serta bekas staf kejurulatihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram