'Dah bulan Mac, tapi gaji tertunggak pemain SUFC belum nampak bayang'


  • Podium
  • Selasa, 07 Mac 2023

SUFC antara kelab di Liga Malaysia yang berdepan masalah tunggakan gaji pada musim lepas. — Facebook

MASALAH kelewatan pembayaran gaji terus membelenggu Sarawak United FC (SUFC) selepas ada dakwaan tunggakan itu masih belum dilunaskan walaupun sudah masuk bulan Mac.

Sebelum ini, jaminan untuk pembayaran tunggakan dibuat menjelang Mac dinyatakan oleh Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais.

Beliau dilaporkan berkata, pembayaran tunggakan gaji membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM1 juta itu akan mula dibayar secara berperingkat bermula bulan ini.

Namun perkara itu nampaknya tidak berlaku apabila Kelab Penyokong Sarawak United FC mendedahkan pembayaran tunggakan gaji kepada pemain tidak dibuat seperti yang dijanjikan.

"Walaupun bulan Mac belum habis, seperti dijanjikan bulan tok (ini) gaji akan clear tapi setakat tok masih belum ada bunyi.

WhatsApp Image 2023-03-07 at 14.40.05

Tangkap layar isu tunggakan gaji yang dibuat oleh Kelab Penyokong Sarawak United FC. — Facebook

"Pemilik tak dapat harap sepenuhnya duit geran yang sangkut di Kementerian Belia dan Sukan. Kena ada usaha cari dana untuk menampung gaji-gaji yang tertunggak.

"Sik (tak) lama lagi bulan puasa. Budak-budak masuk sekolah, semua orang perlukan duit.

"Tambahan lagi nak raya. Dah macam-macam kita dengar tentang pemain dan staf dalam kesusahan. Ada yang terpaksa jual rumah. Ada yang kereta dah ditarik pihak bank.

"Ada juga dah disenarai hitam kerana gagal membayar ansuran rumah dan kereta," kongsinya di laman Facebook itu pada Selasa.

Justeru, laman penyokong SUFC itu berharap pihak pengurusan bertanggungjawab mencari dana untuk menyokong kewangan kelab bagi melancarkan pembayaran gaji serta kakitangan.

292779038_473865464739942_8170224226057608519_n

Raja Imrah Shah bermain untuk SUFC pada musim lepas. — Facebook

Sementara itu, bekas pemain SUFC, Raja Imran Shah Raja Amin yang kini berkhidmat untuk pasukan Perak FC juga pernah memuat naik Insta Story baru-baru ini berhubung masalah tunggakan gaji tersebut.

Tanker Sang Seladang itu memberi gambaran seolah-olah tunggakan gaji belum dibuat oleh pengurusan SUFC.

Terdahulu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menghantar notis kepada SUFC pada 17 Januari lalu supaya tunggakan gaji yang mencecah empat bulan itu segera dilunaskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram