'Gaji, mana gaji', bekas tonggak Ngap Sayot desak FAM, PFAM campur tangan isu hutang SUFC


  • Podium
  • Rabu, 21 Jun 2023

Pemain tengah kelahiran Brazil itu terus mendesak agar pihak pengurusan SUFC supaya menyelesaikan bayaran gaji yang tertunggak. — Instagram/Sandro

KEMELUT pembayaran gaji untuk pasukan Sarawak United FC (SUFC) seperti tiada penghujungnya.

Walaupun bekas Presiden SUFC, Datuk Posa Majais memberi harapan untuk melunaskan tunggakan gaji pemain menjelang Mac ini, namun ia masih dilihat seperti 'janji kosong' dan sehingga kini masih ada pemain yang belum menerima gaji penuh.

Pada Selasa, media melaporkan dua pemain import, Taylor Regan dan Sandro Mendoca jelas berang apabila tiada tindakan daripada mana-mana pihak berkuasa setakat ini.

Mereka mendedahkan bahawa Sarawak United masih berhutang meskipun terdapat campur tangan daripada FIFA yang mahu isu berkenaan diselesaikan secepat mungkin.

Regan yang menyertai kelab tersebut pada 2021 menjelaskan perasaan berangnya akan perkara berkenaan, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan usaha daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mencari kata putus.

Isu pengurusan skuad Ngap Sayot terus segar dalam ingatan penyokong bola sepak tanah air. — Facebook/Sarawak United FC

Isu pengurusan skuad Ngap Sayot terus segar dalam ingatan penyokong bola sepak tanah air. — Facebook/Sarawak United FC

Bagi Sandro pula, dia menceritakan bahawa kelab berkenaan sudah membayar tunggakan sehingga RM42,000 pada September, namun masih berhutang sehingga RM113,416.

Namun luahan Sandro itu tidak terhenti di situ, pemain import kelahiran Brazil tersebut sekali lagi mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengambil tindakan segera.

Luahan itu dibuat di laman media sosial Instagram peribadi miliknya melalui Instastory pada Selasa.

"FAM, sudah tiba masanya anda menjalankan tugas sebagai sebuah persatuan dan melindungi pemain yang bermain dalam Liga Malaysia," tulisnya.

Sandro

Tangkap layar Instastory Sandro berkenaan isu masalah gaji SUFC yang masih belum dibayar. — Instagram/Sandro

Pada masa sama, bekas pemain Selangor FC itu juga turut mengutuk sikap acuh tak acuh Posa Majais dalam membayar tunggakan gaji pemain kelab negeri Bumi Kenyalang itu.

"Hormati semua pemain, hormati bola sepak, hormati kehidupan kami. Kalau saya jadi anda (Posa), saya malu untuk terlibat dalam industri bola sepak.

"Datuk Posa, tunjukkan komitmen anda," luahnya lagi.

Untuk rekod, Sandro bukan pemain import pertama yang mendedahkan masalah tunggakan pembayaran gaji tersebut.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan Stuart Wark, turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap sambil lewa daripada pihak pengurusan yang tidak menjaga kebajikan pemain melalui media sosial.

Malah, Stuart pernah mengambil langkah drastik dengan 'menggegar' ruangan komen laman Facebook rasmi majikan lamanya itu.

Skuad Ngap Sayot yang pada awalnya seakan-akan memberi gambaran mengenai kehadiran pemain baharu tetapi dikejutkan dengan respons daripada bek tengah berusia 33 tahun itu pada awal Februari lalu.

"Gaji, mana gaji," tulisnya ringkas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram