PEMAIN muda C.D. Marathon, Andre Orellana gagal mengawal kemarahannya apabila bertindak menerjah menggunakan kedua-dua kaki terhadap dua pemain lawan sehingga dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan.
Insiden tersebut berlaku dalam perlawanan di antara C.D. Marathon menentang C.D. Olimpia dalam aksi Liga Nacional Apertura (Honduras) pada Isnin.
Sebelum tamat perlawanan, Orellana tanpa berfikir panjang berlari meluru ke arah dua pemain Olimpia iaitu German Mejia dan Carlos Pineda lalu melakukan terjahan keras terhadap mereka.
Terjahan keras itu menyebabkan kedua-kedua pemain mengalami kecederaan di kaki dan kepala akibat kesan daripada terjatuh di atas tanah.
Tanpa berfikir panjang, pengadil perlawanan terus melayangkan kad merah kepada pemain berusia 21 tahun itu sekali gus menyebabnya terlepas aksi seterusnya selepas ini.
Apa yang lebih menarik lagi, Orellana sebenarnya pemain pinjaman daripada Olimpia untuk musim ini, namun bertindak melampau mengasari dua bekas rakan sepasukannya sendiri.
Dalam perlawanan itu, Olimpia berjaya menewaskan Marathon dengan keputusan 1-0 sekali gus kekal sebagai pendahulu Liga Nacional Apertura ketika ini.
Pemain sayap Olimpia, Kevin Lopez berjaya menjaringkan gol pada minit ke-84 sekali gus meranapkan impian untuk menduduki tangga keempat liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram