E. Elavarasan sah letak jawatan, kembali fokus bersama Kim Pan-gon


  • Podium
  • Isnin, 18 Sep 2023

Elavarasan sah kembali ke pangkuan skuad kebangsaan sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya.

MESKIPUN berjaya membawa skuad muda negara layak ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar tahun depan, E. Elavarasan secara rasminya telah melepaskan jawatannya sebagai pengendali skuad B-23 tahun negara pada Isnin.

Keputusan itu dicapai selepas selesai tugasan di Chonburi, Thailand, yang mana satu perjumpaan di antara Elavarasan dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor.

Menerusi kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Elavarasan telah melepaskan jawatannya untuk kembali fokus kepada tugasan asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan.

Sebelum ini FAM melantik Elavarasan sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan yang baharu menggantikan Brad Maloney pada masa yang sama masih memegang jawatan sebagai pembantu kepada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dalam skuad senior negara.

"FAM ketika itu membuat keputusan melantik Elavarasan bagi mengemudi skuad B-23 kebangsaan kerana beliau berada dalam sistem kejurulatihan Pan-gon, sekali gus memudahkan proses kesinambungan untuk skuad senior dan skuad B-23 negara itu.

"Setahun di bawah kendalian Elavarasan, skuad B-23 kebangsaan berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac lalu.

"Biarpun gagal pada Sukan SEA 2023 di Kemboja (Mei), mereka berjaya layak ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada Ogos dan layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand baru-baru ini.

Elavarasan

Elavarasan meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad B-23 selepas mengadakan pertemuan dengan Hamidin.

"Sejurus selesai tugasan di Chonburi itu, satu perjumpaan di antara Elavarasan dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin telah diadakan di Wisma FAM bagi membincangkan hala tuju pasukan B-23 kebangsaan selepas pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024.

"Dalam perbincangan dari hati ke hati itu, Hamidin dan Elavarasan mencapai kata sepakat agar beliau kembali fokus kepada tanggungjawab sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan bagi membantu Pan-gon dalam skuad senior.

"Itu sekali gus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kata Noor Azman, Presiden FAM mengucapkan terima kasih atas sumbangan Elavarasan kerana tetap berjaya membawa pasukan layak ke Piala Asia B-23 2024, biarpun tewas 1-0 kepada Thailand pada aksi terakhir kelayakan, 12 September lalu.

Pengganti Elavarasan sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar pada April depan hanya akan diumum selepas beberapa penelitian dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat serta kata putus yang akan dicapai nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram