Ejen ‘scouting’ JDT redah ceruk kampung, jumpa permata baharu bola sepak Harimau Selatan di Kelantan


  • Podium
  • Isnin, 18 Sep 2023

Sa'ap (kanan) menjadi antara rekrut baharu oleh Diego Griffa untuk diserap ke Akademi JDT.

PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) terus mengorak langkah dalam memperkasakan Akademi JDT dengan merekrut bakat-bakat baharu dari seluruh negeri.

Sebelum ini, JDT menggemparkan komuniti bola sepak di negara ini apabila menyambar Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi yang berumur 13 tahun dari Terengganu.

Muhammad Aqil sebelum itu tular di media sosial apabila dilihat cukup tenang dalam melakukan hantaran serta mengawal bola dalam satu perlawanan menentang pemain lebih berusia.

Tidak terhenti di situ, JDT kembali lagi ke negeri Pantai Timur iaitu Kelantan untuk membawa bakat baharu daripada Gua Musang untuk menyertai Akademi JDT.

Pasukan 'scouting' JDT sanggup meredah kawasan kampung untuk mendapatkan pemain muda iaitu Sa'ap Baharon yang baru berusia 12 tahun.

Menerusi perkongsian Muhammad Waqarri di media sosial, Sa'ap merupakan orang asli yang menetap di Felda Aring, Gua Musang, Kelantan.

Bukan hanya staf biasa yang menyambut kedatangan Sa'ap ke JDT tetapi Ketua Pencari Bakat dan Pembangunan Belia JDT, Diego Griffa turut hadir untuk membawa pemain itu ke Harimau Selatan.

Saad Baharom

Sa'ap (tengah) bergambar sambil memegang jersi JDT bersama keluarganya.

Akademi JDT adalah satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuh masa yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan.

JDT membuktikan mereka antara pasukan terbaik dalam negara yang tidak mensia-siakan bakat pemain-pemain muda.

Akademi JDT melahirkan banyak pemain-pemain berkualiti iaitu Arif Aiman Hanapi, Ramadhan Saifullah dan Feroz Baharudin ramai lagi yang sudah mula mendapat peluang bersama skuad utama Harimau Selatan.

Untuk rekod, Akademi JDT juga menjadi akademi bola sepak pertama di Malaysia dianugerahkan Ahli Emas Piagam SupaRimau yang diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha memperkasakan program akar umbi bola sepak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram