Sedekad lalu, KJ dedah idea bentuk Harimau Muda datang daripada siapa


  • Podium
  • Isnin, 18 Sep 2023

Antara pemain-pemain yang mewakili Harimau Muda sedekad lalu.

PASTINYA penyokong-penyokong bola sepak di negara ini rindu dengan skuad Harimau Muda yang pernah dibentuk oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dulu.

Antara bekas pemain yang berjaya datang daripada Harimau Muda ialah Muhd Irfan Zakaria, Mohd Amirul Hisyam Awang Kechik, Adam Nor Azlin, Ahmad Syihan Hazmi dan ramai lagi yang sedang beraksi dalam kancah liga bola sepak Malaysia.

Harimau Muda mempunyai tiga skuad iaitu A, B dan C yang mana mereka menyertai kejohanan liga luar negara seperti Liga Slovakia, Liga Australia dan Liga Singapura.

Namun pernahkah anda terfikir siapakah individu disebalik penubuhan skuad Harimau Muda sebelum dibubarkan pada 2015?

Harimau Muda A

Skuad Harimau Muda A ketika beraksi di Liga Australia.

Menerusi laporan The Star, bertarikh 18 September 2013, Khairy Jamaluddin yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan menggesa FAM mencari formula jangka panjang untuk mengekalkan prestasi pemain skuad Harimau Muda.

Khairy berkata, penubuhan skuad Harimau Muda semasa beliau menjadi Timbalan Presiden FAM dahulu adalah langkah jangka pendek untuk meningkatkan prestasi bola sepak negara.

"Saya kemukakan idea itu, tetapi idea ini bukanlah untuk jangka masa panjang.

"Akhirnya kita perlu kembali kepada sistem kelab dan negeri," katanya semasa majlis menandatangani perjanjian TSM Golf Challenge 2013.

Harimau Muda C

Harimau Muda C semasa menjalani perlawanan persahabatan di Slovakia.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai skuad Harimau Muda yang mungkin akan berpecah jika pemain skuad itu dipikat kelab luar memandangkan prestasi pemain-pemainnya sangat baik ketika itu.

"Dahulu kita (FAM) sistem berpusat, kerana pada waktu itu kita tidak mahu melihat mereka berpecah.

"Tetapi saya sarankan bila kita lihat liga itu makin kuat, lebih berprestasi tinggi, maka kita boleh kembali ke formula lama," jelasnya.

Namun pada 2015, Khairy menyarankan supaya membubarkan Harimau Muda iaitu skuad negara bawah 22 tahun bagi menumpukan lebih perhatian terhadap program pembangunan di peringkat akar umbi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram