SKUAD Bawah 23 tahun (B-23) negara berhasil meneruskan momentum kemenangan dalam kempen kelayakan Piala Asia B-23 apabila melakar kemenangan 4-0 ketika berdepan Filipina di Stadium Chonburi, Thailand pada Sabtu.
Pasukan muda kebangsaan dilihat menguasai permainan seawal babak pertama apabila ketua pasukan, Mukhairi Ajmal hanya memerlukan 20 saat perlawanan untuk membolosi gawang Filipina.
Enam minit selepas jaringan pembukaan, penyerang sayap dari Kuala Lumpur (KL) City FC, T. Saravanan mencetak jaringan kedua selepas mendapat hantaran bijak dari Luqman Hakim Shamsudin.
Separuh masa pertama dari skuad bimbingan E. Elavarasan ditutup dengan senyuman apabila bek kental Harith Haiqal membuat tindakan berani dengan menjaringkan gol jarak jauh pada minit ke-23.
Babak kedua dari menyaksikan pasukan lawan mula membuat asakan demi asakan untuk mencari gol pertama mereka namun gagal membolosi gawang yang dijaga oleh penjaga gol negara, Azim Al Amin Kamaruddin.
Harimau Muda yang terus laparkan jaringan gol tidak membuang masa apabila menambah akaun gol keempat, sekali lagi daripada Saravanan untuk menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-60.
Kesebelasan utama menentang Filipina. — Facebook/FAM
Kejayaan besar itu dirakamselepas menang 2-0 ke atas Bangladesh pada Rabu lalu itu meraih pujian daripada penyokong domestik dan dianggap Elavarasan sudah membuat peningkatan taktikal untuk skuad muda kebangsaan.
"Inilah yang kita nak! Modern Footbal! Dominance di bahagian middle third dan first third di padang, high defensive line masa attack. Nampak ada kemajuan dalam ideologi dan taktik yang diberi oleh coach E. Elavasaran. Future coach rasanya dah boleh berguru dengan beliau supaya kita tidak ketinggalan dek zaman dalam modern football ini," kata penyokong, Jeremy Salleh.
"Filipina tidak berapa kuat.. Kita nak menang dengan Vietnam Dan Thailand.. Kalau menang dengan mereka kira okay ada peningkatan yang drastik," tambah seorang lagi penyokong, Ami Tomak Balo Bashi.
Selain pujian kepada Elavarasan, penyokong juga menzahirkan kegembiraan mereka melihat kelibat Luqman Hakim yang kembali menyarung jersi kuning kebangsaan itu selepas kembali dari Iceland.
Sebahagian penyokong bagaimanapun melihat pemain berusia 21 itu masih menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan lain dan semakin kurang tajam untuk mencipta jaringan gol.
"Kasihan tengok Luqman..nampak dia struggle, dia antara pemain yang rajin, work rate tinggi tapi dia nampak dah lost, chemistry dengan kawan-kawan pun dah hilang..peluang dia yang offside depan pintu gol pon boleh tidak masuk, nampak macam mudah bagi Luqman yang dulu, bola cuma perlu tap in tapi tidak masuk..nampak dia pula macam injured..bagi aku dia betul-betul mangsa keadaan dalam penghijrahan ke Eropah..semoga Luqman dapat bangkit macam dulu," bagi penyokong, Zuhairi.
"Luqman laju.. tapi macam kurang mahir control energy.. skil individu dah drop.. mungkin sebab minit mainan yang sangat kurang di Eropah. Better dia balik Malaysia," tambah penyokong, Imran.
Selepas ini skuad bimbingan Elavarasan bakal berdepan pasukan tuan rumah, Thailand dalam aksi ketiga Kumpulan H dalam pertembungan yang bakal berlangsung pada Selasa di venue yang sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram