Luqman Hakim: Masih relevan atau tidak untuk sarung jersi HM?


  • Podium
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Prestasi Luqman Hakim kini semakin menurun akibat kekurangan minit bermain di Eropah. — Facebook/FAM

SATU masa dahulu, nama Luqman Hakim mencipta sensasi dalam kancah bola sepak kita. Ketika itu, kita berasakan dialah penyerang berpotensi tinggi yang bakal menyerlah.

Luqman kemudiannya memperoleh peluang untuk beraksi di Eropah. Ketika itu, harapan begitu menggunung untuk menyaksikan bakatnya terus mekar dan bakal memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.

Namun begitu, seperti karier pemain lain, Luqman mengalami situasi sukar. Minit permainannya di Eropah semakin menyusut dan prestasinya mula jatuh.

Namanya kini menjadi persoalan penyokong, adakah perlu Luqman dipanggil ke skuad kebangsaan? Dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand baru-baru ini, graduan Akademi Mokhtar Dahari tersebut tidaklah menyerlah seperti diharapkan.

Analisis ringkas Majoriti kali ini akan membentangkan kepada anda, dua kelebihan dan kekurangan seandainya penyerang kelahiran Kelantan ini terus diserap ke skuad kebangsaan.

Pro: pilihan penyerang tulen terus meluas

Seperti yang kita semua maklum, masalah dalam sistem bola sepak tempatan adalah kekurangan penyerang tulen untuk skuad kebangsaan. Sebagai rekod, hanya Darren Lok dan Syafiq Ahmad penyerang kompeten yang Malaysia ada untuk peringkat senior.

Semua ini kerana kecenderungan kelab-kelab Liga Malaysia mendapatkan penyerang import lalu membataskan peluang penyerang tempatan mendapatkan minit beraksi dan mekar sebagai pemain.

Jika Luqman terus dipanggil ke skuad kebangsaan, ini akan meluaskan pilihan penyerang tulen. Kita tidak boleh bergantung harap kepada satu atau dua penyerang sahaja kerana andainya berlaku masalah seperti kecederaan maka kesukaran akan berlaku.

Jadi, Luqman boleh terus dipanggil demi meluaskan squad depth dan memberi lebih pilihan kepada jurulatih.

Pro: sentuhan Eropah membantu Luqman

Kualiti bola sepak di Eropah sedikit sebanyak telah membantu Luqman menjadi pemain yang lebih baik.

Contoh itu dapat dilihat selepas berkelana beberapa tahun berkelana di Eropah, fizikal Luqman dilihat semakin tegap dan lebih kompeten sebagai pemain bola sepak.

Ini adalah satu perkembangan yang bagus untuk pemain tersebut. Apabila aspek fizikal telah diberikan penekanan, sudah pasti bahagian teknikal bola sepak turut diasah semasa di Eropah bukan?

375733577_1006331050440131_3976324233695929389_n

Fizikal Luqman kelihatan lebih baik selepas berpindah ke Eropah. — Facebook/FAM

Luqman pastinya mempelajari teknik dan ilmu baharu dalam bola sepak di Eropah yang mungkin sukar didapati berbanding negara kita. Jadi, sedikit sebanyak Eropah telah membantu Luqman.

Ini juga akan memberikan manfaat kepada skuad kebangsaan apabila Luqman hadir sebagai pemain berbeza dengan penyerang tulen lain yang bermain di Liga Super.

Kontra: merugikan slot pemain

Namun begitu, jika terus memanggil Luqman untuk menguatkan skuad kebangsaan turut ada kelemahannya. Melihat realiti sekarang, jika Luqman dipanggil terutamanya untuk kejohanan ia akan merugikan slot pemain Harimau Malaya.

Hal ini kerana, prestasi Luqman ketika ini sedang menurun dan jika form tersebut terus dibawa ke kejohanan bersama Malaysia, ia akan mengundang kerugian.

Adalah lebih baik jika slot itu dibagi kepada pemain lain yang lebih layak tidak kira sama ada penyerang. Jika tidak diberikan kepada penyerang, slot itu boleh juga digunakan untuk diisi oleh pemain posisi lain untuk memenuhi keperluan taktikal jurulatih.

Kontra: tidak baik untuk pemain itu sendiri

Satu lagi kontra yang akan berlaku jika Luqman terus dipanggil ke skuad kebangsaan adalah ia akan terus meranapkan motivasi pemain tersebut.

378321720_1009560116783891_7673509075925098979_n

Kecaman hanya akan merendahkan motivasi Luqman. — Facebook/FAM

Ketika prestasi sedang merudum dan ia terpancar pula ketika bersama skuad kebangsaan, Luqman akan menjadi subjek kecaman penyokong kerana tidak bermain dengan baik.

Ini akan terus menjatuhkan lagi motivasi pemain itu sendiri kerana tidak mampu membuktikan kepada penyokong nilainya dalam pasukan kebangsaan. Jika tidak berjaya mengawal tekanan, Luqman berpotensi untuk mengalami tekanan lebih teruk dalam kariernya.

Jadi, apa perlu dibuat?

Bagi mendapatkan semula keyakinan dan prestasinya, Luqman mesti mencari minit permainan apabila pulang semula ke Eropah. Dalam kes Luqman, minit permainan penting untuk membantu meningkatkan kemampuannya.

Seandainya perlu meninggalkan Eropah untuk terus beraksi, maka lakukanlah. Luqman mungkin boleh mencuba nasib bermain di liga-liga Asia pula tetapi tidak perlu untuk pulang ke Liga Super.

Usaha Luqman untuk mencuba nasib di Eropah harus dipuji. Tetapi jika tidak berhasil, tidak salah untuk kembali ke petak pertama dan bermula semula.

Semoga bangkit semula, Luqman Hakim! — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram