Usaha FAM tukar logo, guna nama Harimau Malaysia hanya bertahan setahun


  • Podium
  • Ahad, 17 Sep 2023

Logo FAM.

PRESTASI menakjubkan yang ditunjukkan oleh anak-anak buah Kim Pan-gon sewajarnya mendapat pujian daripada seluruh penyokong bola sepak tanah air.

Terkenal dengan jolokan Harimau Malaya, tujuh tahun lalu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pernah menukar nama gelaran itu kepada Harimau Malaysia.

Bukan itu sahaja, FAM turut memperkenalkan logo baharu Harimau Malaysia bagi menyuntik semangat penyokong untuk sama-sama bersorak di bawah satu nama iaitu Malaysia.

FAM memperkenalkan secara rasmi logo baharu Harimau Malaysia, rekaan Muhammad Amzar Mohamed, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam itu pada 16 September 2016.

Logo tersebut pernah mendapat undian tertinggi dalam undian awam yang dibuat secara dalam talian selama 13 hari bermula pada 22 Mac hingga 3 April 2016.

Logo Harimau Malaysia

Logo Harimau Malaysia.

Pada 2 Februari 2016, bekas Presiden FAM, Yang di-Pertuan Agong pernah mengumumkan nama Harimau Malaysia sebagai gelaran rasmi baharu skuad bola sepak kebangsaan berkuat kuasa serta merta.

Antara tujuan penjenamaan pasukan kebangsaan kepada Harimau Malaysia adalah untuk menunjukkan bahawa pasukan kebangsaan adalah milik semua peminat bola sepak Malaysia dan ini terbukti melalui proses penghasilan logo secara crowdsource itu.

Malahan logo itu juga menjadi bentuk produk rasmi Harimau Malaysia bagi tujuan untuk memberi peluang kepada peminat menzahirkan sokongan mereka terhadap skuad bola sepak kebangsaan dengan memiliki barangan berkualiti dan rasmi keluaran Harimau Malaysia dengan harga mampu milik.

Namun selepas, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih jawatan sebagai presiden FAM pada 2017, beliau telah mengubah semula nama Harimau Malaysia kepada yang asal iaitu Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram