'Itu bukan alasan', Cheng Hoe yakin anak buah mampu benam Sang Penyu


  • Podium
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe. — Facebook/selangorfc

PASUKAN Selangor FC bersedia untuk mendapatkan bekalan selesa menjelang aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, TFC dianggap memiliki sedikit kelebihan untuk meraih bekalan selesa berbanding Selangor yang memiliki rekod kurang baik dalam pertembungan di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan dalam momentum terbaik selepas The Red Giants berada di tangga kedua Liga Super 2023 sementara Terengganu dalam keadaan bersedia ke Piala AFC.

Melihat kepada prestasi dan kedudukan dalam Liga Malaysia, aksi tersebut lebih memihak kepada Gergasi Merah yang pernah mengalahkan Sang Penyu 5-1 dalam pertembungan Liga Super, April lalu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

selangor fc..

Sebahagian sesi latihan barisan pemain Gergasi Merah menjelang perlawanan berdepan Sang Penyu. — Selangorfc

Dalam pada itu, menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, dia berharap agar pasukan kendaliannya akan bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi perlawanan tersebut.

"Kami tidak mempunyai skuad penuh pada sesi latihan sebelum ini yang agak mencabar untuk pasukan ketika mereka membuat persiapan menghadapi Terengganu FC.

"Tentunya setiap perlawanan, kami barisan jurulatih ingin kesebelasan utama akan melakukan yang terbaik untuk menghadapi mana-mana pasukan.

"Yang penting adalah dari segi persiapan setiap pemain dalam pasukan walaupun kami tahu jadual yang begitu padat untuk Bawah 23 (B-23).

"Tetapi itu bukan satu alasan, saya yakin dengan kualiti yang ada pada setiap pemain, kami mampu memberi satu saingan yang terbaik untuk pasukan menentang Terengganu nanti," kata pengendali Gergasi Merah itu.

Selepas berdepan Selangor FC, skuad Sang Penyu bakal menerima kunjungan pasukan dari Australia, Central Coast Mariners untuk aksi pembukaan Kumpulan G Piala AFC pada 20 September nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram