BINTANG bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo dikhabarkan bakal menyaman bekas kelabnya, Juventus ekoran isu gaji tidak yang dibayar ketika pandemik Covid-19 yang lalu.
Difahamkan, Juventus meminta untuk menangguhkan bayaran gaji RM99.5 juta sewaktu awal tempoh pandemik Covid-19 namun sehingga kini Ronaldo belum menerima sebarang bayaran.
Malah, Juventus turut berjanji kepada Ronaldo untuk membayar gaji tersebut setelah kelab mampu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh mereka.
Ronaldo yang kini beraksi di kelab Arab Saudi, Al-Nassr itu bakal mengambil tindakan undang-undang kepada Juventus setelah segala urusan dokumentasi diselesaikan.
Bukan sahaja Ronaldo malah Leonardo Bonucci juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Juventus selepas pergaduhan yang dilaporkan dengan pengurus Massimiliano Allegri menyebabkan dia keluar dari kelab itu baru-baru ini.
Bekas penyerang Manchester United itu pernah beraksi untuk Juventus selama tiga tahun dan berjaya menjaringkan 101 gol dalam 134 penampilan bersama kelab tersebut.
Ronaldo pernah menjulang dua gelaran Serie A dan 1 Piala Itali bersama Juventus sebelum mengambil keputusan untuk kembali ke kelab lamanya, Manchester United pada tahun 2021. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram