Ivan Mamut muncul hero benam Selangor, fans puji 'gameplay' TFC ala JDT


  • Podium
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Penyerang berbisa Sang Penyu, Ivan Mamut dikawal ketat oleh pemain Gergasi Merah. — Facebook/MFL

TERENGGANU FC berjaya memanfaat kelebihan bermain di halaman sendiri selepas menewaskan Selangor FC dengan keputusan 2-0 dalam suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 pada Sabtu.

Stadium Sultan Mizan menyaksikan perlawanan seimbang pada babak pertama apabila kedua-dua pasukan saling membuat serangan ke arah kubu lawan masing-masing bagi mendapatkan kelebihan gol awal.

Rentak permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan namun gagal menembusi gawang gol lawan masing-masing sehinggalah insiden yang tidak diingini berlaku.

WhatsApp Image 2023-09-16 at 23.35.35

Sebahagian aksi menarik antara pemain Sang Penyu dan Gergasi Merah. — Facebook/MFL

Pengadil perlawanan, Fitri Maskon memberikan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah apabila pemain pertahanan Selangor FC, Quentin Cheng dipersalahkan melakukan kekerasan terhadap Nurillo Tukhtasinov di dalam kotak penalti.

Ivan Mamut menerima tugasan berat itu dan rembatan kencang penyerang Sang Penyu itu berjaya menewaskan Samuel Somerville pada penghujung babak pertama sekali gus meletakkan TFC berada kedudukan selesa.

Bersambung babak kedua, Selangor FC dilihat beberapa kali membuat percubaan melepasi barisan pertahanan tuan rumah namun tidak berjaya untuk mencipta peluang jaringan.

Pada minit-minit akhir, Terengganu melakukan kejutan selepas tandukan cantik, Syahmi Zamri menambah jaringan kedua buat pasukan Sang Penyu sebagai bekalan selesa dalam aksi timbal balik nanti.

Kebijaksanaan pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner mengatur percaturan berdepan pasukan pelawat dilihat menjadi apabila anak buah Tan Cheng Hoe gagal berleluasa dan tidak berupaya meruntuhkan benteng kukuh Sang Penyu.

Melihat kepada reaksi penyokong, mereka begitu terhibur dengan persembahan yang ditonjolkan oleh kedua-dua pasukan kerana perlawanan yang diharungi cukup sengit.

Rata-rata penyokong memuji penyerang berbisa, Ivan Mamut dalam mengucar-ngacirkan benteng pertahanan pelawat.

"Ball control dia kemas, jadi pair dia kali ini," kata Nie Ka.

Bagus, work rate team nampak tinggi, kalau konsisten macam ni, baru best nak tengok game, Ivan Mamut lain macam malam ni," kata Roy Rahman.

"Peningkatan yang ketara dari skuad Terengganu, banyak serangan, ada keserasian, harap boleh menang banyak lepas ni," kata Zul Gunners.

Di samping itu, ramai juga penyokong memuji corak permainan yang ditampilkan oleh pasukan Sang Penyu seakan-akan pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT).

"Terengganu makin meningkat game play. Macam JDT dua tahun lepas. Insya-ALLAH boleh kekalkan momentum," kata Mohd Farid Hussein.

Terbaik Terengganu terus konsisten untuk persediaan terakhir sebelum Piala AFC," kata Kasut Baraii.

Selepas ini, skuad Sang Penyu bakal menerima kunjungan pasukan dari Australia, Central Coast Mariners untuk aksi pembukaan Kumpulan G Piala AFC pada 20 September nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram