[VIDEO] Helah penjaga gol wanita di Belanda tak menjadi, hadiahkan hatrik buat lawan


  • Podium
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Pothof gagal mengawal situasi dengan baik sebelum hanya mampu terkaku apabila bola memasuki gawangnya sendiri.

PERLAWANAN Liga Wanita Belanda pada Jumaat menyaksikan juara bertahan, Ajax Women bertemu Excelsior Women di Stadium Woudestein, Belanda.

Penyerang Ajax Women, Romee Leuchter yang menjadi sandaran buat pasukannya, memikul tanggungjawab itu dengan cemerlang apabila menjaringkan dua gol memasuki minit ke-20 permainan.

Namun, pasukan tuan rumah mengecilkan defisit memasuki penghujung babak pertama menerusi jaringan pemain sayap, Dana Breewel.

Bagaimanapun, usaha Excelsior Women membawa pulang mata dalam aksi berkenaan tidak kesampaian apabila Leuchter mendapatkan hatriknya pada masa kecederaan.

Tetapi, jaringan ketiganya dalam perlawanan itu hadir dengan kejutan selepas percubaannya daripada sepakan percuma gagal diselamatkan penjaga gol lawan, Isa Pothof.

Percubaan Pothof untuk menggagalkan jaringan hatrik Leuchter tidak berhasil.

Selepas bola itu terkena palang, penjaga gawang Exclesior Women itu cuba untuk mempercepatkan permainan dengan membawa masuk bola lain yang ditinggalkan di atas jaringnya.

Tindakan berkenaan dibuat untuk memastikan gol daripada Leuchter dibatalkan memandangkan aturan permainan jelas mengatakan perlawanan perlu dihentikan sekiranya terdapat dua biji bola di atas padang.

Namun, rancangannya itu tidak berhasil memandangkan pengadil perlawanan mengesahkan jaringan Ajax Women yang sekali gus memastikan tiga mata milik pasukan pelawat.

Kemenangan bermakna tersebut meletakkan mereka di tangga keempat selepas hanya beraksi sekali musim ini setelah perlawanan pertama pasukan tempoh hari ditangguhkan untuk memberi laluan kepada Liga Juara-juara Wanita UEFA (UWCL).

Bagi Exclesior Women pula, mereka kini berada di kedudukan ketujuh dalam carta Liga Wanita Belanda dengan hanya satu mata dikutip selepas dua perlawanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram