TEKA-TEKI mengenai pemilik baharu Kelantan FC terus berada dalam pemikiran penyokong kelab Pantai Timur itu dengan persoalan terbabit terus dibiarkan tanpa jawapan.
Meskipun tiada hasrat daripada pemilik sedia ada, Norizam Tukiman untuk melepaskan pasukan berkenaan, situasi semasa mereka mendesak agar perubahan dapat dilakukan.
Ia berikutan tiga kekalahan berturut-turut yang memalukan apabila mereka dibolosi sebanyak 29 kali ketika berdepan Terengganu FC, Johor Darul Takzim dan Selangor FC.
Selain itu, terdapat juga persoalan diberikan mengenai ketegasan usahawan kelahiran Johor itu dalam menguruskan skuad The Red Warriors (TRW) selepas wujudnya isu kebajikan pemain serta staf kejurulatihan sejak awal musim lalu.
Masalah yang semakin menimbun itu membangkitkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong yang berhasrat agar Norizam mengundurkan diri secepat mungkin.
Fahdi (kanan) bersama bekas pemain Kelantan FA, Fakri Saarani. — Facebook/Fahdi Ghazali
Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan bekas penaja Kelantan FA, Datuk Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berminat untuk kembali menerajui pasukan berkenaan.
Di samping itu, beberapa individu lain, termasuk pemilik firma guaman dikatakan tertarik untuk memperolehi saham majoriti kelab dengan hasrat berkenaan turut diketahui penyokong pasukan.
Bagaimanapun, kesemua cita-cita berkenaan tidak disertakan dengan usaha masing-masing, sekali gus mengekalkan Norizam sebagai pemilik kelab Pantai Timur itu.
Namun, baru-baru ini, seorang lagi calon tampil menyatakan hasratnya untuk bergelar pemegang saham terbesar Kelantan FC.
Pengasas kelas perniagaan FunnelEvo, Fahdi Ghazali dilihat berminat dengan jawatan itu menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadinya pada Selasa.
Fahdi menawarkan kelas keusahawanan yang dikenali sebagai FunnelEvo.
"Ingat lagi kata-kata daripada bekas pemain bola Kelantan, Fakri Saarani. Bola tu, kalau taknak masuk, tak masuk juga.
"Orang Kelantan memang hebat bermain bola. Tapi, kalau bukan rezeki nak gol, tak gol juga. Betul tak? Kalau saya nak beli TRW, ada tak yang boleh bermain bola minat nak sertai?" tulisnya.
Hantaran berkenaan disertakan sekeping gambar memaparkan individu terbabit sedang berswafoto bersama Fakri dengan foto itu diambil dalam kapal terbang.
Fakri yang juga bekas pemain berkenaan boleh diangkat sebagai antara tonggak utama skuad TRW apabila dia menjulang Piala FA 2013 bersama pasukan terbabit.
Selain itu, statusnya sebagai anak jati Kota Bharu, Kelantan turut mengharumkan lagi namanya dalam kalangan penyokong Kelantan FC yang amat merindui personalitinya.
Meskipun tiada maklumat lanjut dapat diketahui mengenai latar belakang Fahdi, ia tidak menghalang rata-rata penyokong Kelantan FC daripada mengalu-alukan kehadirannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram