TIRAI Liga Super 2023 sudah semakin hampir dilabuhkan selepas kira-kira lapan bulan ia menyajikan hiburan kepada penyokong bola sepak tanah air.
Seperti dijangkakan, Johor Darul Takzim (JDT) tidak berdepan sebarang masalah untuk memastikan kejuaraan buat kali ke-10 berturut-turut.
Tetapi, apa yang lebih mengejutkan lagi apabila skuad Harimau Selatan hanya mencicirkan dua mata dalam saingan Liga Super selepas mengharungi 21 perlawanan.
Hal mengejutkan turut berlaku di dasar carta liga apabila tiga pasukan, Kuching City FC, Kelantan FC serta Kelantan United FC masih bergelut untuk mendapatkan rentak masing-masing.
Namun, meskipun hanya terdapat kira-kira empat perlawanan berbaki untuk setiap pasukan, masih adanya beberapa aksi yang akan terus diberikan perhatian.
JDT hanya menghitung hari untuk menjulang trofi Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Perebutan minit-minit akhir antara Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk mendapatkan slot ke Piala AFC 2024 pastinya akan menjadi tumpuan dengan masing-masing masih mempunyai kelebihan tersendiri.
Walaupun kelebihan dari segi mata dikumpul berpihak kepada skuad Gergasi Merah, kejutan masih boleh dilakar kelab Utara tanah air itu dalam baki-baki perlawanan.
Selain itu, pasukan-pasukan lain juga pastinya tidak mahu ketinggalan untuk mencipta sesuatu yang di luar jangkaan apabila ia hanya akan menghangatkan lagi sukan tersebut.
Di samping membawa masuk beberapa wajah-wajah yang jarang diberikan peluang, terdapat juga kemungkinan keputusan mengejutkan mampu dihasilkan.
Jadi, melihat kepada situasi ketika ini, Majoriti menyenaraikan tiga kejutan yang masih boleh tercetus sebelum tirai Liga Super 2023 dilabuhkan.
1. Fakrul Haikal diturunkan dalam skuad utama JDT
Tidak boleh dinafikan bahawa JDT sering memberikan minit permainan buat pemain muda yang menerima pengajian dalam akademi bola sepak mereka.
Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin serta Adam Farhan merupakan antara yang diberikan peluang selepas bakat masing-masing terserlah di peringkat remaja.
Pendekatan terbabit seperti akan diteruskan barisan kejurulatihan skuad utama JDT musim ini apabila beberapa pemain muda dilihat sudah terlibat dalam sesi latihan skuad senior.
Antara yang mencuri perhatian ketika itu ialah pemain JDT III, Fakrul Haikal yang dilihat berambut panjang sehingga menimbulkan tanda tanya mengenai latar belakangnya.
Fakrul (kiri) dilihat berada dalam sesi latihan skuad senior Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Meskipun masih terlalu awal untuk memberikannya peluang, terdapat kemungkinan pengendali skuad Harimau Selatan, Esteban Solari akan menurunkannya.
Pasukan tersebut dilihat sudah semakin hampir untuk mengesahkan kejuaraan untuk kali ke-10 berturut-turut dengan ia akan memberi peluang buat pemain muda untuk baki lima perlawanan.
Jika Fakrul berjaya menambat hati skuad utama Harimau Selatan, dia akan mencipta rekod sebagai antara pemain paling muda yang pernah mencipta penampilan dalam Liga Super.
2. Ikhwan Yazek kembali bersama TRW
Tidak boleh dinafikan bahawa Kelantan FC sering memberikan peluang buat pemain muda untuk mencipta nama dalam Liga Super dengan pendekatan itu menjadi semakin kerap memasuki penghujung musim.
Antara pemain yang dari awalnya dianggap sebagai permata baharu buat kelab Pantai Timur itu ialah penyerang sayap, Ikhwan Yazek.
Walaupun hanya merekodkan lima penampilan Liga Super, pemain berusia 23 tahun berkenaan masih mencipta satu momen sukar dilupakan dalam kariernya.
Bantuan jaringan yang dihasilkan ketika aksi menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada Mac lalu menerima pujian daripada pemain tengah Manchester City, Kevin de Bruyne.
Ikhwan Yazek difahamkan sudah kembali berada dalam sesi latihan skuad TRW. — Instagram/Ikhwan Yazek
Tetapi, karier Ikhwan berdepan cabaran tersendiri apabila pemain berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL) sejurus selepas perlawanan terbabit.
Namun, baru-baru ini, penyokong The Red Warriors (TRW) menerima berita gembira apabila penyerang berkenaan sudah diturunkan ketika sesi latihan mereka.
Kepulangannya dijangka akan membantu jentera serangan pasukan berkenaan yang hanya mencatatkan dua kemenangan dalam Liga Super musim ini.
Bagaimanapun, dengan Kelantan FC memiliki Natanael Siringoringo dan Fazrul Amir Zaman, adakah khidmat Ikhwan akan diperlukan secara terburu-buru?
3. Selangor meraih kemenangan di Darul Aman
Seperti dibincangkan di atas, masih terdapat dua pasukan yang sedang berusaha keras untuk merebut slot ke pentas Asia musim depan.
Selangor FC yang berada di kedudukan kedua Liga Super masih belum boleh menarik nafas lega memandangkan KDA FC yang berada di tangga ketiga mempunyai kelebihan satu perlawanan.
Kedua-dua pasukan ketika ini hanya dibezakan dengan lima mata dengan masing-masing mempunyai rekod cemerlang dan konsisten dalam Liga Super.
Jadi, untuk menentukan milik siapakah slot ke Piala AFC itu, perlawanan antara Selangor FC dan KDA FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada 2 Disember boleh dianggap sebagai penentunya.
Selangor FC berjaya mencatatkan tiga mata kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu. — Facebook/KDA FC
Kelebihan dilihat lebih berpihak kepada skuad Sang Kenari memandangkan mereka sebelum ini berjaya mengikat JDT dalam satu aksi Liga Super di venue terbabit.
Tetapi, kejutan masih boleh dicipta pasukan Lembah Klang itu yang juga tidak boleh dinafikan mengenai kehebatan mereka setiap kali beraksi di tempat lawan.
Selain itu, mereka juga berjaya mencatatkan kemenangan ketika kali terakhir mereka bertemu apabila skuad Gergasi Merah mencuri tiga mata dengan kemenangan 3-2.
Kejayaan tersebut akan sekali gus mengesahkan kepulangan mereka ke pertandingan itu sejak kali terakhir layak pada 2016 sementara KDA FC masih boleh berbangga dengan kedudukan mereka musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram