SELEPAS terpaksa menanggung kekalahan penuh memilukan kepada Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), kem Manchester United dilaporkan bergolak berkenaan isu antara pengurus Erik ten Hag dan Jadon Sancho.
Ketiadaan Sancho dalam skuad perlawanan bertemu Arsenal menjadi tanda tanya, lalu Ten Hag mengatakan selepas perlawanan yang pemain tersebut disisihkan kerana prestasi kurang memberangsangkan ketika latihan.
"Kami tidak memilih dia. Anda perlu mencapai satu-satu tahap di Manchester United dan kita boleh buat pilihan untuk barisan serangan, jadi untuk perlawanan ini, dia tidak terpilih," kata Ten Hag.
Hasil daripada kenyataan tersebut, nama Sancho menjadi sasaran penyokong United yang berasakan pemain itu tidak berjuang habis-habisan demi kelabnya itu.
Ten Hag tidak menyenaraikan Sancho kerana faktor prestasi. — Agensi
Oleh itu, Sancho secara terbuka mengatakan di media sosial yang dia dijadikan sebagai kambing hitam terhadap situasi tersebut.
Pemain kebangsaan England itu meminta supaya jangan terlalu mudah untuk percaya mengenai apa sahaja yang dikatakan dalam media.
"Tolong jangan percaya apa yang anda baca! Saya tak akan benarkan orang bercakap mengenai perkara yang sememangnya tidak betul, saya menjalani sesi latihan dengan sungguh baik minggu ini (minggu perlawanan menentang Arsenal).
"Saya percaya ada sebab lain yang saya tak akan ulas lebih. Saya percaya saya telah dijadikan kambing hitam untuk tempoh yang lama dan ini sangat tidak adil!
"Apa yang saya mahu cumalah bermain bola sepak dengan senyuman di muka dan menyumbang kepada pasukan. Saya hormati segala keputusan yang dibuat oleh barisan kejurulatihan, saya bermain dengan pemain hebat dan bersyukur untuk melakukannya. Saya tahu setiap minggu adalah cabaran, saya akan terus berjuang demi lencana ini tak kira apa pun!," kata Sancho.
Tangkap layar komen Sancho terhadap kenyataan Ten Hag. — Twitter (X)/@sanchooo10
Selepas apa yang terjadi, Ten Hag dilaporkan bakal bertemu dengan Sancho secara peribadi untuk menjelaskan situasi yang berlaku serta meredakan ketegangan antara mereka berdua.
Nama Sancho sering dikatakan menjadi pilihan kedua oleh Ten Hag dengan pengurus dari Belanda itu lebih memilih untuk menggunakan Antony sebagai kesebelasan utama.
United tewas kepada Arsenal dan itu menjadikan kekalahan kedua diterima The Red Devils dalam empat perlawanan pertama EPL. Lawan United selepas ini adalah Brighton & Hove Albion. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram