[VIDEO] Dion Cools 'diayamkan' dalam video 'throwback' bintang EPL bersama Belanda


  • Podium
  • Khamis, 14 Sep 2023

Dion Cools kini merupakan salah seorang pemain pertahanan tengah terbaik dimiliki Harimau Malaya. — Facebook/FAM

SALAH seorang pemain yang dijangka bakal dibawa pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk ke saingan Piala Asia 2023 ialah bek tengah warisan, Dion Cools.

Selepas mencipta debut bersama skuad kebangsaan pada 2021, pemain berkenaan sudah menempa namanya sebagai antara pemain pertahanan tengah terbaik negara.

Kebolehannya untuk membina benteng yang kukuh bersama rakan sepasukan merupakan antara kelebihan utama yang ditawarkan buat Harimau Malaya.

Dari segi individu pula, pemain kelahiran Kuching, Sarawak berkenaan mempunyai kepakaran dalam membaca gerakan pihak lawan di samping melakukan hadangan keras.

Bagi peminat bola sepak tanah air, keupayaan Dion Cools untuk mempamerkan aksi terbaik setiap kali di atas padang berpunca daripada tahun-tahun kariernya di Eropah.

dion-cools-belgium-1

Dion Cools berpeluang menyarung jersi skuad antarabangsa Belgium untuk beberapa kali.

Selepas memulakan kariernya di Belgium, bek tengah berkenaan pernah berkhidmat buat beberapa pasukan di benua berkenaan, termasuk Midtjylland di Denmark serta FK Jablonec di Republik Czech.

Bagaimanapun, pasti ramai daripada penyokong Harimau Malaya kurang mengetahui bahawa pemain terbabit pernah mewakili sebuah negara lain sebelum bersama-sama skuad kebangsaan.

Ia adalah apabila dia yang mempunyai kelayakan untuk beraksi bersama Belgium diberikan kepercayaan untuk tampil di peringkat belia negara berkenaan.

Selain pernah beraksi dalam kategori umur Bawah 18 Tahun (B-18), Dion Cools juga pernah berpeluang meraih pengalaman bersama skuad B-19 dan B-21 mereka.

Peluang berkenaan pastinya memberikan satu pendedahan bermakna buat Dion Cools dalam meningkatkan lagi gaya permainannya apabila terpaksa berdepan pemain berkualiti.

Antara bintang Eropah yang pernah dihadapinya ialah pemain sayap Everton, Arnaut Danjuma yang ketika itu berada dalam pasukan belia Belanda.

Perkara itu disedari ramai apabila Danjuma memuat naik satu video ketika dia menjaringkan gol buat skuad B-21 The Oranje dalam aksi persahabatan menentang Belgium B-21.

Dalam klip pendek itu, penyerang terbabit dilihat sempat mengelirukan Dion Cools dengan gelecekan yang pantas sehingga menyukarkan gerakan pemain pertahanan tersebut.

Lebih menarik lagi, bek tengah Harimau Malaya itu juga kelihatan mengenakan lilitan tangan kapten, sekali gus menceritakan mengenai kepercayaan diberikan pihak kejurulatihan mereka.

Bagaimanapun, kekecewaan yang dirasai Dion Cools dan pasukannya tidak berpanjangan apabila Belgium memenangi perlawanan tersebut dengan dia turut menjaringkan satu gol.

Meskipun bersinar di peringkat belia, pemain terbabit kemudiannya memilih untuk mewakili skuad Harimau Malaya dengan status ibunya sebagai warganegara membolehkannya mendapatkan tempat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram