MUSIM ini, Selangor FC mempamerkan persembahan yang cukup baik dalam saingan Liga Super. Peningkatan prestasi dapat dilihat dengan tahap konsisten Gergasi Merah sangat memberangsangkan terutamanya dalam misi meraih tempat kedua.
Ketajaman bahagian serangan menjadi nadi kepada kekuatan skuad Tan Cheng Hoe. Namun begitu, posisi pertahanan masih lagi mengecewakan para penyokong Gergasi Merah.
Pada mereka, pertahanan Selangor masih lagi belum cukup ampuh. Oleh itu, pelaburan perlu dilakukan bagi memastikan gawang tidak mudah dibocori dan nirbolos (clean sheet) boleh diraih dengan lebih banyak.
Jelas sekali, nama pertahanan seperti Yazan Al-Arab sudah tidak begitu popular dalam kalangan penyokong dan mereka berharap muka baharu akan dibawa pada musim hadapan.
Menerusi pemerhatian Majoriti, ini adalah tiga calon pertahanan yang boleh direkrut Selangor untuk musim hadapan.
1. Bruno Uvini
Berusia 32 tahun, pertahanan berketinggian 1.87 meter itu merupakan rakan sepasukan penyerang legenda Uruguay, Luis Suarez di Gremio.
Pernah beraksi sebanyak tiga kali bersama-sama skuad kebangsaan Brazil, Uvini dilihat sebagai calon sesuai untuk mengisi posisi pertahanan tengah yang dianggap bermasalah bagi penyokong Selangor.
Melihat kepada rekod kecederaan, Uvini jarang terpalit dengan perkara tersebut dan ini adalah nilai tambah kepada resume yang ada padanya.
Uvini pernah memenangi gelaran bersama Napoli di Itali. — Agensi
Selain itu, Uvini juga pernah menjuarai Coppa Italia bersama Napoli, juara Saudi Pro League dengan Al-Nassr serta gelaran Piala Dunia B-20.
Uvini juga mempunyai pengalaman luas beraksi di pelbagai negara termasuklah saingan Eredivisie Belanda, Qatar Stars League serta JLeague di Jepun.
Bernilai RM2.9 juta, nilai itu dianggap tidaklah terlalu mahal untuk Selangor cuba mendapatkan Uvini dan ia boleh susut kerana faktor kontrak pemain itu sudah tinggal 12 bulan sahaja dengan Gremio.
2. Bruno Alves
Jangan terkeliru dengan bekas pertahanan Portugal yang mempunyai nama sama, Bruno Alves merupakan salah seorang pertahanan berusia 32 dari Brazil.
Juga beraksi bersama-sama Suarez dan Uvini di Gremio, Alves mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam saingan domestik Brazil. Untuk rekod, pemain ini telah melakukan 190 penampilan dalam Serie A Brazil sambil 50 kali bermain dalam liga divisyen dua negara tersebut.
Alves mempunyai pengalaman luas dalam Serie A Brazil. — Agensi
Rekod Alves mungkin tidak segah Uvini yang merangkul beberapa kejuaraan serta pernah beraksi di pelbagai negara. Hal ini kerana, Alves masih belum mempunyai sebarang rekod kejuaraan dalam karier profesionalnya setakat ini.
Kini bernilai RM4.7 juta, nilainya naik melebihi sekali ganda dengan harga untuk mendapatkan Uvini. Alves kini hanya tinggal 12 bulan bersama Gremio.
3. Dion Cools
Ketua pasukan Harimau Malaya ini jika berjaya diraih oleh Selangor, maka bergembiralah penyokong Gergasi Merah.
Kualiti yang ada pada Cools tidak boleh dinafikan lagi. Sejak mewakili Malaysia sebagai pemain warisan, Cools telah menonjolkan kualitinya sebagai pemain pertahanan.
Dion Cools merupakan pemain warisan Malaysia. — Facebook/FAM
Cools juga dilihat sebagai pemain versatil kerana boleh beraksi di posisi pertahanan tengah dan kanan. Pengalaman beraksi di peringkat tertinggi juga dimilikinya apabila pernah bermain dalam kejohanan seperti UEFA Champions League.
Kini beraksi di Thailand, kontrak Cools dijangka tamat pada April 2024 dan pada masa itu Selangor boleh cuba menghambat namun pastinya sukar kerana kualiti yang ada padanya pasti menjadi idaman banyak pasukan.
Bernilai RM4.3 juta dan kini berusia 27 tahun serta kebolehan yang terbukti, pastinya Cools adalah pemain idaman penyokong Gergasi Merah untuk mengisi ruang pertahanan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram