[VIDEO] Dua gol Safee Sali pahat sejarah JDT jadi pasukan tempatan pertama layak ke semi final Piala AFC


  • Podium
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Skuad Harimau Selatan menunjukkan taring mereka di pentas Asia kira-kira lapan tahun lalu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SELASA ini, Johor Darul Takzim (JDT) akan berentap dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan perlawanan pembukaan menentang kelab Jepun, Kawasaki Frontale.

Ia pastinya satu cabaran besar buat skuad Harimau Selatan yang masih boleh dianggap sebagai pencabar sebenar dalam pertandingan peringkat benua itu.

Meskipun sudah melayakkan diri untuk tahun kelima berturut-turut, jurang kualiti antara JDT dengan pasukan-pasukan gergasi seluruh Asia masih belum boleh dipertikaikan.

Bagaimanapun, juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu juga boleh dianggap sebagai sebuah kelab yang pernah meraih kejayaan di pentas tertinggi.

Ini berikutan kejayaan mereka dalam Piala AFC 2015 apabila pasukan berkenaan muncul juara, sekali gus menjadi pasukan pertama dari rantau Asia Tenggara memenanginya.

Sorotan aksi suku akhir antara JDT menentang South China.

Pencapaian itu bukanlah sesuatu yang mudah buat JDT apabila mereka perlu berdepan cabaran daripada pesaing dari luar negara dengan pengalaman lebih lama dalam kejohanan terbabit.

Salah sebuah lawan yang dihadapi skuad Harimau Selatan dalam Piala AFC tahun tersebut ialah kelab dari Hong Kong, South China FC.

Setelah terikat dengan keputusan 1-1 di laman sendiri pada 25 Ogos 2015, JDT kemudiannya beraksi di Stadium Mong Kok, Hong Kok pada 15 September tahun yang sama.

Pengendali JDT ketika itu, Mario Gomez memberikan peluang buat bekas peledak negara, Safee Sali untuk berada dalam kesebelasan utama.

jdt16_field_image_listing_featured.variant

Dua gol daripada Safee Sali memastikan kemenangan buat JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Keputusan berkenaan membuahkan hasil apabila dia meraih dua gol dalam pertembungan di tempat lawan dengan satu lagi jaringan disumbangkan bek kanan, Mahali Jasuli.

Perlawanan itu berakhir dengan keputusan 3-1, sekali gus menyaksikan jaguh bola sepak negara tersebut mara menerusi agregat 4-2.

Pencapaian terbabit menyaksikan JDT menjadi pasukan Liga Super pertama muncul dalam peringkat separuh akhir kejohanan, namun terpaksa berdepan kelab dari Kuwait, Al-Qadsia.

Meskipun tewas dalam perlawanan pertama, skuad Harimau Selatan berpeluang melangkah ke aksi final setelah badan induk bola sepak antarabangsa, FIFA mengenakan penggantungan terhadap mereka.

Peluang berkenaan diambil dengan baik apabila JDT kemudiannya menewaskan pasukan dari Tajikistan, Istiklol pada 21 Oktober 2015 untuk ditabalkan juara Piala AFC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram