Pasti sengit, 2 bintang harus saling diawasi Sang Penyu-Gergasi Merah jika enggan terperangkap


  • Podium
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Pertembungan antara Terengganu-Selangor dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di SSMZA pada Sabtu pastinya mendebarkan. — Facebook/TFC

PERLAWANAN Suku Akhir Piala Malaysia 2023 menyaksikan pertembungan tumpuan membabitkan pasukan di tangga kedua liga, Selangor FC dan penyandang naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC.

Perlawanan pertama timbal balik aksi pada Sabtu antara kedua-dua pasukan akan berlangsung di laman sendiri skuad Sang Penyu dekat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu pada Sabtu.

Dengan melihat kepada prestasi, anak buah Tomislav Steinbruckner dijangka mampu memberi cabaran sengit kepada skuad Gergasi Merah untuk layak ke pusingan seterusnya.

Ini kerana selain rekod tiga kemenangan berturut-turut dalam perlawanan terakhir liga, TFC juga mencatatkan kemenangan selesa ketika menewaskan KL Rovers dengan aggregat 7-0 dalam aksi di peringkat pusingan ke-16 Piala Malaysia.

Disebabkan itu, Selangor FC dijangka tidak akan menerima laluan mudah ketika berkunjung ke gelanggang lawan dalam aksi pada Sabtu.

Tambahan pula, TFC tentunya mahu mendapatkan bekalan selesa sebelum berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada 24 September depan.

Berikut Majoriti senaraikan dua pemain masing-masing dari TFC dan Selangor FC yang perlu diberikan diawasi dalam perlawanan yang berlangsung pada Sabtu:

Terengganu FC

1. Ivan Mamut

374577906_287593803982061_6725767972614509149_n

Mamut ketika sesi latihan bersama skuad TFC. — Terengganu FC

Di sebalik kritikan yang diterima, penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut terus mendapat kepercayaan jurulatih untuk menerajui bahagian hadapan skuad Sang Penyu.

Malah, kepercayaan yang diberikan terhadap pemain berusia 26 tahun ini turut terbalas apabila dia dilihat terus konsisten menyumbangkan gol.

Malah pada bulan lalu, Mamut turut berjaya mencipta dua hatrik masing-masingg ketika membantu pasukan menewaskan Kelantan FC 8-0 dalam saingan Liga Super dan KL Rovers 4-0 semasa aksi pusingan ke-16 Piala Malaysia.

Selain mempunyai keupayaan menjaringkan gol dengan tandukan dan rembatan deras, penyerang berketinggian 1.92 meter ini turut dilihat sentias mampu memposisikan diri di kedudukan terbaik di dalam kotak penalti untuk menghidu peluang gol.

2. Sonny Norde

370591818_283827884358653_7774587216126345759_n

Sonny (kanan) ketika beraksi dalam perlawanan Liga Super 2023 baru-baru ini. — Terengganu FC

Dalam pada itu, cerita mengenai ancaman di bahagian hadapan skuad Sang Penyu tidak lengkap sekiranya turut tidak melibatkan pemain import tengahnya, Sonny Norde.

Pada musim ini, pemain tengah berusia 34 tahun ini dilihat menjadi nadi dan punca gerakan kreatif pasukan TFC.

Selain mempunyai rekod enam jaringan dan sembilan bantuan gol, keserasian yang dibentuk bersama Mamut juga merupakan satu ancaman yang tidak boleh dipandang rendah oleh Selangor FC.

Dalam aksi menentang KL Rovers pada peringkat Pusingan Ke-16 Piala Malaysia, dua daripada tiga gol yang dicatatkan Mamut pada aksi tersebut terhasil menerusi bantuan gol daripada Sonny.

Pada masa sama, Sonny juga dilihat mampu menyerlah di beberapa perlawanan besar Liga Malaysia (M) pada musim ini.

Antaranya mencetak dua gol bagi memastikan TFC mengikat Sabah FC 2-2, membuat bantuan satu gol ketika Sang Penyu mencatatkan kemenangan tipis 1-0 menentang Penang FC dan menyumbang satu gol sagu hati ketika pasukan tewas 1-3 di tangan Johor Darul Takzim (JDT).

Selangor FC

1. Faisal Halim

371290687_782702287194835_6991376740061797126_n

Faisal ketika dalam sesi latihan skuad kebangsaan. — Selangor FC

Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim kini dilihat berada di prestasi terbaik meskipun baru sahaja selesai menjalani penggantungan enam lima perlawanan Liga M baru-baru ini.

Malah, pemain kelahiran Seberang Jaya, Pulau Pinang ini dilihat turut menjadi nadi utama serangan skuad negara dalam kedua-dua aksi perlawanan persahabatan antarabangsa yang dilangsungkan di Chengdu, China pada minggu lalu.

Ia termasuk sumbangan jaringannya ketika aksi menentang China bagi membolehkan skuad Harimau Malaya mencipta kejutan untuk mengikat pasukan di tangga ke-80 ranking dunia.

Disebabkan itu, kelibat Faisal yang turut pernah beraksi bersama TFC selama dua musim pastinya perlu diberikan perhatian oleh barisan pertahanan tuan rumah.

Ia khususnya dalam mematahkan gerakan yang cuba dilakukan pemain berusia 25 tahun itu yang lazimnya dimulakan di bahagian kiri padang.

Selain mampu mencipta jaringan, Faisal juga dilihat begitu cemerlang dalam menjalankan tugasannya memberikan bantuan gol kepada rakan pasukan apabila mencatakan rekod 8 bantuan jaringan pada musim ini.

2. Ayron Del Valle

375283587_785429913588739_2522157983120633003_n

Ayron ketika berlatih bersama pasukan Selangor FC. — Selangor FC

Selain perlu merantai Faisal, barisan pertahanan TFC turut mempunyai tugasan besar untuk mengawal ancaman yang diberikan penyerang yang mendahului carta penjaring terbanyak liga, Ayron Del Valle dengan 21 gol.

Disebabkan itu, pemain pertahanan skuad Sang Penyu tidak boleh membuat kesilapan mudah dengan memberikan terlalu banyak ruang kepada penyerang Colombia itu.

Tambahan pula, Ayron mempunyai keupayaan untuk menjaringkan gol daripada pelbagai arah termasuk melalui rembatan derasnya dari luar kotak penalti.

Pada masa sama, penyerang berusia 34 tahun ini juga dilihat masih terus berada di prestasi terbaik dalam beberapa aksi terakhir liga termasuk dengan menyumbang empat jaringan ketika aksi menentang Kelantan FC pada 25 Ogos lalu.

Ayron juga mencatatkan dua jaringan ketika membantu Selangor FC menang 4-1 ketika perlawnana pertama timbal balik Pusingan Ke-16 Piala Malaysia menentang PDRM FC.

Keputusan itu membolehkan skuad Gergasi Merah membawa bekalan selesa sebelum akhirnya mara ke pusingan seterusnya dengan agregat 6-2 meskipun tewas 1-2 ketika aksi kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram