KEHANGATAN bola sepak Liga Malaysia (Liga M) kian terasa dengan setiap pasukan semakin menampakkan taring masing-masing dalam perebutan menjulang trofi kejuaraan musim ini.
Saingan Piala Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini dilihat semakin rancak dan peluang masih terbuka untuk mana-mana pasukan merampas gelaran juara dengan saingan baru memasuki peringkat suku akhir ketika ini.
Harapan dan sandaran penyokong pastinya terletak di bahu pemain yang beraksi di atas padang dan kelibat individu pilihan sentiasa dinanti-nantikan dalam setiap perlawanan.
Pertukaran pemain dalam jendela perpindahan yang dibuka pada awal dan pertengahan musim ini nyata satu detik yang ditunggu seluruh peminat.
Manakan tidak, setiap muka baharu yang dibawa masuk membawa seribu satu harapan untuk menjelmakan sinar serta harapan baharu buat seluruh pasukan.
Buktinya, beberapa pemain berstatus pinjaman pada musim ini mula mencuri perhatian dengan aksi ditampilkan bersama kelab baharu mula membuahkan hasil dan semakin menjadi bualan penyokong.
Tampil dengan corak permainan memukau, berikut merupakan tiga pemain pinjaman yang mempamerkan peningkatan di saingan musim ini:
1. Fadhli Shas (Sri Pahang FC)
Selepas bermusim-musim berkhidmat bersama JDT, pertahanan veteran, Fadhli Shas memilih untuk meninggalkan kelab Selatan tanah air itu pada jendela perpindahan musim ini.
Hal itu adalah kerana dia terlalu kerap disisihkan daripada pasukan utama sehingga menyaksikan pemain tersebut beraksi bersama JDT II di Liga Perdana pada 2021.
Namun sejak mewakili skuad Tok Gajah, kelibatnya sentiasa disenaraikan dalam kesebelasan utama bersama pasukan dengan 16 penampilan dicatatkan setakat ini.
Beraksi di posisi pertahanan tengah, kekentalannya dalam mengawal serta mengekang asakan lawan menjadi salah satu faktor mengapa pemain berusia 32 tahun ini masih berbisa.
Pengalamannya bersama skuad kebangsaan usah dipertikaikan lagi dan segala kelebihan dimiliki kini diterjemahkan sepenuhnya bersama pasukan Pahang.
2. Sikh Izhan (Negeri Sembilan FC)
Penjaga gol berusia 21 tahun ini merupakan antara individu penting di skuad Jang selepas dipinjamkan dari Selangor FC selama semusim pada awal tahun ini.
Bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu semakin menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan yang menyaksikan dia berjaya memperoleh 19 penampilan setakat ini.
Perkara itu nyata satu pengalaman berharga buatnya apabila gaya permainannya semakin matang sehingga ada yang melabel dia sebagai pengganti Syihan Hazmi di Negeri Sembilan.
Sejak mewakili NSFC, Sikh Izhan turut berjaya menarik perhatian jurulatih skuad kebangsaan apabila namanya tersenarai dalam barisan pemain mewakili skuad Harimau Muda dan Harimau Malaya dalam beberapa siri persahabatan dan kejohanan sebelum ini.
Berketinggian 1.83 meter, ia antara ciri yang diperlukan bagi posisi penjaga gawang dengan usia mudanya juga dilihat antara prospek jangka masa panjang bagi pasukan NSFC.
3. J. Partiban (Kedah FC)
Pemain sayap kiri kelahiran Perak, J. Partiban semakin mempamerkan keserasian bersama skuad Kedah FC sejak dipinjamkan ke pasukan itu pada pertengahan musim ini.
Pernah berada di bawah bimbingan Nafuzi Zain semasa bersama Terengganu FC pada 2017, penyerang berusia 30 tahun itu sekali lagi ditemukan dengan bekas jurulatihnya di Kedah.
Dilabel sebagai pengganti bekas penyerang sensasi Lee Tuck, J. Partiban memiliki kawalan bola yang kemas dan gemar membawa bola secara solo dalam membantu rakan sepasukan menjaringkan gol.
Dengan prestasinya yang semakin memberansangkan, ada pihak menggesa agar pengurusan Kedah mendapatkan pemain itu secara sah dan kekal pada musim akan datang.
Namun, setakat ini masih belum ada sebarang berita berhubung perkara itu dan pemain berkenaan kekal dengan status pinjaman untuk musim ini di Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram