Tiga bintang utama PSM Makassar dalam radar The Rhinos, Gergasi Merah dan Tok Gajah untuk musim 2024


  • Podium
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Sabah antara kelab yang dilaporkan berminat menyambar tiga tonggak utama PSM Makassar yang kini dibelenggu masalah gaji serius. — Facebook/sabahfc

ISU tunggakan gaji bukanlah sesuatu yang baharu dalam landskap bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Baru-baru ini, masalah kewangan yang dihadapi kelab Liga 1 Indonesia, PSM Makassar menerima tumpuan lebih meluas selepas pengendalinya, Bernardo Tavares melelong dua barangan peribadinya.

Jurulatih kelahiran Portugal itu mengeluarkan sehelai baju berjenama serta sebuah trofi Anugerah Pengendali Terbaik di negara berkenaan.

Dalam pada itu, masalah dalaman tersebut sekali gus membuka peluang kepada pasukan Liga Super tanah air yang disarankan memerhati bintang utama PSM Makassar untuk dibawa masuk musim depan.

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain PSM Makassar yang khabarnya dalam radar beberapa kelab Liga Super iaitu Selangor FC, Sri Pahang FC dan Sabah FC:

Yakob

Pemain sayap PSM Makassar, Yakob Sayuri. — Agensi

1) Yakob Sayuri

Yakob Sayuri adalah pemain sepak bola profesional Indonesia yang ketika ini bermain sebagai pemain sayap untuk PSM Makassar.

Sebelum menyertai pasukan itu pada Februari 2020, Yakob menabur bakti bersama pasukan Barito Putera musim 2019.

Pemain kelahiran Indonesia itu pernah membantu PSM Makassar meraih kemenangan dengan keputusan 4-0 dan mencetak satu jaringan ketika berdepan Yangon United yang merupakan sebuah kelab di Mynamar dalam perlawanan kelayakan Piala AFC 2023.

Memiliki ketinggian 1.68 meter, Yakob pernah mencetak tujuh jaringan dan tujuh assist dalam perlawanan Liga 1 selepas 25 perlawanan berlangung musim lepas.

Dalam pada itu, kelab Gergasi Merah perlu mengambil peluang untuk membawa masuk Yakob sekiranya ingin mempertajamkan lagi jentera serangan untuk musim depan.

ezgif.com-webp-to-jpg (30)

Pertahanan tengah, Yuran Fernandes. — Agensi

2) Yuran Fernandes

Pemain pertahanan tengah PSM Makassar, Yuran Fernandes antara bintang yang perlu diberi perhatian oleh kelab Liga Super berikutan mempunyai kelebihan fizikal iaitu berketinggian 1.98 meter.

Sebelum berpindah ke PSM Makassar, Yuran pernah berkhidmat bersama kelab Torreense di Liga 2 Portugal.

Pemain kelahiran Sal-Rei mencetak satu jaringan dan satu assists dalam perlawanan Liga 1 Indonesia ketika berdepan Persik musim ini.

Oleh itu, memiliki ketinggian 1.98 meter tentunya diperlukan dalam skuad Tok Gajah untuk memperkukuhkan benteng pertahanan.

Kenzo

Penyerang berbisa, Kenzo Nambu. — Agensi

3) Kenzo Nambu

Penyerang berbisa PSM Makassar, Kenzo Nambu meledak enam jaringan dalam 12 penampilan pada aksi saingan Liga 1 Indonesia untuk pasukannya itu.

Pemain kelahiran Jepun itu mula menyertai PSM Makassar pada Jun 2020 dan membantu pasukan itu menewaskan pasukan Barito Putera yang berada di kedudukan kedua Liga 1 Indonesia dengan keputusan 2-0 musim ini.

Pemain berketinggian 1.73 meter itu pernah mencetak sembilan gol dan dua assist selepas 31 perlawanan Liga 1 berlangsung musim lalu.

Susulan itu, Sabah FC perlu mengambil peluang untuk membawa masuk Kenzo dalam skuad bagi mempertajamkan jentera serangan skuad Sang Badak.

Dalam pada itu, kelab pasukan Liga Super pastinya mempunyai peluang untuk memburu ketiga-tiga pemain PSM Makassar tersebut.

Melihat kepada situasi semasa pasukan itu, kelab Liga Super perlu mengambil kesempatan berikutan masalah dalaman yang dihadapi oleh pasukan tersebut.

Sabah FC akan berdepan PSM Makassar di Stadium Kapten 1 Wayan Dipta pada 5 Oktober 2023 untuk perlawanan peringkat Kumpulan H dalam saingan Piala AFC 2023/2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram