SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) kini kembali selepas terpaksa berehat selama dua minggu bagi memberi laluan buat skuad kebangsaan untuk melaksanakan perlawanan persahabatan antarabangsa mengikut kalendar FIFA.
Namun ia bukan alasan untuk setiap kelab daripada berehat kerana cuti dua minggu ini mereka gunakan untuk adakan perlawanan persahabatan dan ada juga yang meneruskan latihan seperti biasa bagi mengekalkan stamina para pemain.
Menjelang perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia, Sabah FC juga tidak terkecuali apabila dilihat terus komited menjalankan latihan mereka apa lagi dijadualkan bakal berdepan dengan pasukan Perak FC.
Dalam pada itu, tentunya penyokong bola sepak tanah air tidak sabar menantikan pertembungan kedua-dua pasukan tersebut berikutan berjaya melepasi pusingan 16 Piala Malaysia 2023 dengan penuh dramatik.
Perak FC mengejutkan kancah bola sepak tanah air selepas menyingkirkan antara pencabar utama Liga M, Kedah Darul Aman dengan agregat 4-3.
Penjaga gawang Sabah FC, Damien Lim turut berada dalam sesi latihan. — Facebook/sabahfc
Dengan berbaki beberapa hari sebelum sepak mula pada 15 September nanti, dijangka kedua-dua pasukan akan memberikan saingan sengit berikutan masing-masing ingin mendapatkan bekalan yang cukup selesa.
Berikutan perkara itu, Sabah FC perlu meraih kemenangan dan mendapatkan lebih banyak gol sebagai bekalan apabila berkunjung ke Stadium Ipoh, Perak dalam aksi timbal balik nanti.
Bagaimanapun, kehilangan penyerang sayap kanan Sang Badak, Jailton Paraiba masih dirasai dan tentunya menjadi tanda tanya para penyokong kerana kelibatnya dalam sesi latihan skuad itu tidak kelihatan.
"Masih tiada si Jailton Paraiba," kata Azmy Jp.
"Apakah status si Jailton sekarang, tiada kelibat dia dalam beberapa perlawanan lalu dan sesi latihan," kata Alonk Long Haizeq.
Untuk rekod, kali terakhir pemain kelahiran Brazil itu beraksi bersama Sabah FC adalah ketika tewas 0-2 berdepan Kuala Lumpur City FC dalam saingan Liga Super pada 13 Ogos 2023.
Meskipun khabar berita mengenai Jailton masih kurang jelas, nampaknya kerinduan penyokong Sang Badak akan terubati apabila kelibat seseorang yang sering menyelamatkan gawang The Rhinos turut berada dalam sesi latihan.
Susulan itu, ramai penyokong Sabah FC mengharapkan agar penjaga gol The Rhinos, Damien Lim diturunkan sebagai kesebelasan utama berdepan skuad Seladang.
"Kembali sudah si Damien," kata s_edz.dnl.
"Ah Boy harap turun main nanti lawan Perak," Puteri Rozzy Yanna.
"Waaa ada sudah keeper kita, harap dapat main sampai lima tahun di Sabah FC dan tahun seterusnya, badan mahu kasih sado lagi," kata Eindz Selamanya.
Sebelum ini, Damien diketepikan bagi kem latihan Harimau Malaya susulan kecederaan yang dialami olehnya.
Sabah FC akan menerima kunjungan daripada skuad kendalian Yusri Che Lah untuk melengkapkan perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia pada 15 September nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram