HARIMAU Malaya mencuri tumpuan ramai penyokong di Malaysia selepas berhasil mendapatkan dua keputusan positif dalam aksi persahabatan menentang Syria dan China.
Seri 2-2 bertemu Syria disusuli pula dengan keputusan 1-1 menentang China, rata-rata penyokong semakin yakin dengan skuad kendalian Kim Pan-gon menjelang kempen Piala Asia 2024 di Qatar.
Apa yang berjaya diraih di China bukanlah sekadar positif dari segi keputusan, tetapi juga melibatkan ketahanan mental pemain Harimau Malaya.
Sekitar aksi pemain Harimau Malaya yang berpuas hati selepas meraih keputusan seri berdepan China. — Facebook/FAM
Bagaimanapun, timbul perkara yang kurang menyenangkan mengenai perbandingan kelayakan ke Piala Asia 1976 dan sekarang.
Rata-rata penyokong menganggap bahawa zaman Allahyarham Mokhtar Dahari ke Piala Asia lebih mudah kerana hanya sedikit negara yang menghantar wakil untuk kejohanan tersebut iaitu pada tahun 1976, 1980 dan 1984.
Pada tahun 1976, Malaysia beraksi peringkat kumpulan kerana hanya enam negara yang bertanding untuk Piala Asia ketika itu namun berakhir di kedudukan tercorot tanpa sebarang kemenangan.
Manakala pada tahun 1980, Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan walaupun hanya sepuluh negara bertanding dan sistem kelayakan belum diperkenalkan ketika itu oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Pada tahun 1984, terdapat 21 negara yang menghantar wakil dan ketika itu Piala Asia mempunyai peringkat kelayakan namun Malaysia gagal ke peringkat kumpulan.
Selama 42 tahun penantian, Malaysia berjaya melakar sejarah apabila layak ke peringkat kumpulan Piala Asia 2023 secara merit.
Justeru, penganalisis bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli memberikan pandangan mengenai isu yang mengatakan era sekarang lebih mencabar untuk Harimau Malaya.
"Zaman sentiasa berubah. Saya setuju dengan apa yang diperkatakan bahawa zaman dulu dan sekarang ni kedudukan Harimau Malaya tak sama.
"Dulu cabaran tidak sesukar sekarang. Tetapi pada yang sama, dengan kenyataan tersebut tidak bermakna kita memperlekehkan yang dulu.
"Kita tak perlu memperlekehkan skuad kebangsaan yang dulu kerana sekarang kononnya zaman kita lebih sukar, tetapi kita kena mengambil kira contoh, Brazil pernah menang Piala Dunia berkali-kali dulu,sekarang nak menang Piala Dunia pun susah," katanya kepada Majoriti.
Di samping itu, beliau juga berpendapat bahawa, penyokong tanah air tidak boleh memperlekehkan pemain dulu namun perlu menerimanya mengikut peredaran zaman.
"Jadi, situasinya orang kata kita kena menerimanya mengikut peredaran zaman tetapi pada waktu yang sama kita tidak boleh merendah-rendah kan orang (pemain) yang dulu dengan yang sekarang.
"Pada saya yang penting, apa yang berlaku dulu adalah itu adalah satu sejarah yang pertama. Sejarah dulu membanggakan kita, sejarah itu menunjukkan kehebatan kita dan sesuatu yang kita perlu terima pada waktu itu.
"Untuk generasi sekarang pula, ia tidak boleh melihat ia sebagai satu alasan,tapi generasi sekarang perlu melihat ia sebagai satu penanda aras hari ini," katanya.
Tambahnya lagi, kita perlu menjadikan kejayaan pasukan kebangsaan dulu sebagai penanda aras yang baik.
"Walaupun skuad Harimau dulu dengan sekarang berbeza, ia juga boleh dijadikan suatu penanda aras jika kita berfikir secara positif.
"Kenapa kita cuma mengambil kira skuad kebangsaan berdasarkan pencapaian di Piala Asia, kita kena mengambil kira juga akan pencapaian yang kita layak pada tahun 1972 iaitu Olimpik di Jerman dan 1980 di Moscow walaupun kita menarik diri.
"Itu adalah pencapaian dan penanda aras yang sangat tinggi pada waktu itu.
"Mana boleh kita nak katakan kita layak dulu sebab pasukan Harimau Malaya tak kuat. Senarionya berbeza, zamannya berbeza tetapi kita tetap perlu memperakui itu merupakan penanda aras yang tinggi kepada kita," ujarnya.
Malaysia bakal bertemu Jordan dalam aksi pertama kempen Piala Asia 2023 pada 16 Januari 2024 sebelum bertemu Bahrain pada 22 Januari dan bakal menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir saingan peringkat kumpulan pada 28 Januari 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram