Hilang 4 tonggak bertemu Perak FC, OKS yakin 'squad depth' Sabah FC bantu raih kemenangan


  • Podium
  • Jumaat, 15 Sep 2023

Sabah FC akan turun tanpa empat tonggak yang terlibat dengan tugasan Harimau Malaya. — Facebook/Sabah FC

PERSAINGAN merebut tempat ke separuh akhir Piala Malaysia diteruskan pada Jumaat apabila Sabah FC dan Perak FC bertemu sesama sendiri di Likas.

Sabah yang dilihat sebagai pasukan pilihan ingin memastikan kemenangan berpihak kepada mereka apabila beraksi di laman sendiri sambil mengharapkan bekalan selesa dibawa untuk aksi timbal balik di Ipoh.

Akan tetapi, persiapan skuad Badak mengalami sedikit masalah apabila mereka bakal turun tanpa empat pemain bertemu The Bos Gaurus.

Darren Lok, Stuart Wilkin, Daniel Ting dan Dominic Tan kesemuanya tidak akan diturunkan atas faktor baru saja pulang daripada tugasan Harimau Malaya di Chengdu, China.

Walaupun bakal tempang tanpa empat pemain, Kim Swee yakin dengan squad depth yang ada pada Sabah. Jadi, beliau berasakan pasukannya lebih daripada mampu untuk menepis cabaran Perak dalam perlawanan pertama.

"Kami masih mempunyai ramai pemain yang mampu slot-slot yang ditinggalkan dan saya percaya semua pemain berada di tahap cukup baik selepas rehat yang agak lama. Saya berharap pasukan akan dapat keputusan yang positif," kata Kim Swee.

Pengendali berusia 52 tahun itu turut berkata cabaran yang diberikan oleh Perak tidak boleh dipandang rendah. Perkara ini terbukti selepas skuad kendalian Yusri Che Lah itu mengejutkan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk mara ke suku akhir.

Pada hemat beliau, jika kemenangan pertama berjaya diraih di Likas, tiada gunanya seandainya mereka leka pada aksi timbal balik kelak.

"Kalau lihat semula pada aksi antara Perak dan Kedah, mereka mampu menang di Ipoh dan berjaya dapatkan keputusan (dimahukan) di tempat lawan. Jadi, kita tak boleh pandang rendah.

"Sejak Yusri mengambil alih, pasukan Perak bertambah baik. Dari segi statistik, mereka menunjukkan banyak perubahan. Saya jangkakan satu perlawanan yang sengit dimana kita tak boleh terlampau yakin kerana itu boleh mengecewakan pasukan," ujar Kim Swee.

378493324_694008242765870_4260880219168270036_n

Stuart Wilkin (dua dari kiri) merupakan antara pemain Sabah FC yang mewakili Malaysia. — Facebook/Sabah FC

Kim Swee jelas tidak mahu para pemainnya berasa seandainya keputusan cemerlang dapat diraih pada aksi pertama, Sabah ibarat sudah satu kaki di separuh akhir.

"Apa jua keputusan (di Likas) bukan penentu sebab kita masih ada perlawanan di Ipoh, itu juga perlawanan yang amat penting.

"Walau apa yang terjadi di Likas, kita tak boleh berasa yakin. Semestinya kita nak kemenangan di tempat sendiri, tapi kalau dengan kemenangan tanpa disiplin ketika bermain di tempat lawan mungkin akan menyebabkan keputusan sebaliknya," jelas Kim Swee.

Sabah sebelum ini menewaskan Kuching City FC untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram