Kapten Marvel letak syarat, rekrut team baharu BB7


  • Podium
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Baddrol (kiri) sudah beberapa kali terlibat dalam perlawanan bola sepak sosial sejak dipilih sebagai wakil rakyat di DUN Gurun. — Facebook/Baddrol Bakhtiar

KEPUTUSAN bekas pemain tengah negara, Baddrol Bakhtiar untuk menceburi bidang politik boleh dianggap sebagai satu langkah yang tepat buatnya.

Selepas bergiat secara profesional dalam dunia bola sepak, pemain berkenaan memilih untuk mengejutkan orang ramai apabilameninggalkan Sabah FC pertengahan musim lalu.

Ia adalah untuk membolehkannya menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) dan berkempen di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) di DUN Gurun, Kedah.

Meskipun masih baharu dalam dunia politik, Baddrol yang sememangnya cukup terkenal di negeri Utara tanah air itu meraih majoriti 17,771 undi, sekali gus membolehkannya bergelar wakil rakyat.

Kejayaan berkenaan diambil baik oleh bekas kapten Kedah FA itu apabila dia giat memberikan khidmat terbaik buat penduduk di kawasannya.

379507677_888098862683613_1696765906623912049_n

Grafik yang dimuat naik di laman media sosial peribadi Baddrol baru-baru ini. Facebook/Baddrol Bakhtiar

Perkara tersebut dapat disaksikan di laman media sosial peribadinya dengan Baddrol sering menyelesaikan isu berkaitan kemudahan, termasuk kebocoran paip dan kemusnahan akibat bencana alam.

Namun, baru-baru ini, ahli politik berusia 35 tahun terbabit sekali lagi mendekatkan dirinya dengan penduduk Gurun, Kedah apabila mengadakan sesi pemilihan pemain bola sepak secara terbuka.

Berdasarkan infografik yang dimuat naik pada Jumaat, acara tersebut akan berlangsung 14 dan 15 Oktober di Padang Modenas Gurun, Kedah.

Selain itu, syarat yang dikenakan adalah kesemua penduduk kawasan berkenaan yang berusia 17 sehingga 39 tahun boleh menyertainya tanpa mengira latar belakang.

Pemilihan terbabit dibuat untuk mewakili pasukan bola sepak BB7 dalam satu perlawanan persahabatan yang masih belum diketahui tarikh penganjurannya.

Sesi pemilihan itu sekali gus menceritakan bahawa Baddrol merupakan seorang ahli politik yang dekat dengan penduduk apabila menekankan gaya hidup aktif buat orang ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram