Usia makin bertambah, Fayadh perlu kekal atau keluar dari Sang Kenari?


  • Podium
  • Khamis, 14 Sep 2023

Fayadh masih gagal memecahkan kebuntuan jaringan gol walaupun diberi peluang oleh Nafuzi untuk turun sebagai pemain gantian Sang Kenari.— Facebook/KDAFC

PENYERANG sayap kiri Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fayadh Zulkifli boleh dianggap antara produk terbaik yang pernah dilahirkan oleh skuad Sang Kenari selain daripada nama-nama besar seperti Baddrol Bakhtiar, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan Farhan Roslan.

Tahap kecemerlangan Fayadh ketika di awal kemunculannya pada musim 2019 bagi saingan Liga Super mencuri tumpuan penyokong domestik sehingga Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pernah meletakkan harga tanda tebus nilai pemain itu bernilai sebanyak RM5 juta sebelum ini.

Namun seperti pemain bola sepak lain, Fayadh juga mengalami turun naik prestasi sepanjang bersama Kedah dan perkara itu dapat dilihat apabila dia perlu berebut posisi dengan kehadiran beberapa penyerang sayap kiri lain.

FAYADH ISI

Musim ini Fayadh sudah tampil dalam 21 aksi Liga Super. — Facebook/KDAFC

Jika dibandingkan dengan musim lepas, saingan 2023 boleh dianggap sebagai tahun kurang memihak kepada Fayadh apabila dia masih gagal memecahkan kebuntuan jaringan gol walaupun diberi peluang oleh pengendali Kedah, Nafuzi Zain untuk turun sebagai tonggak gantian.

Dengan prestasi tidak menentukan ditampilkan pemain berketinggian 1.60 meter itu, ramai penyokong mula mempersoalkan sama ada Fayadh perlu kekal di bumi Darul Aman ataupun mula melangkah ke kelab baharu.

Keputusan tersebut perlu segera difikirkan pemain yang gemar menggunakan kaki kanan itu terutamanya apabila usianya yang kini berumur 25 tahun akan terus bertambah namun dia masih kekal berada di zon selesa.

Oleh itu, kali ini Majoriti memberikan beberapa hujah untuk membincangkan mengenai masa depan Fayadh bersama skuad Hijau Kuning;

1) Kekal bersama Kedah

Sekiranya pemain sayap itu memilih untuk kekal bersama KDA FC, Fayadh perlu meningkatkan mutu permainannya bagi merebut posisi daripada beberapa pemain utama lain seperti Zharmien Ashraf dan kini J.Partiban yang baru tiba dari Kuala Lumpur (KL) City FC secara pinjaman.

Sejak Partiban hadir sebagai tonggak sayap dari skuad Warga Kota, pemain berusia 30 tahun itu tidak menunggu lama untuk memikat hati Nafuzi dan penyokong apabila sudah mencetak dua jaringan gol untuk Kedah selepas lapan perlawanan Liga Super dia diturunkan.

Sekiranya Partiban kekal menjadi antara pemain utama Kedah sehingga penghujung musim ini, Fayadh patutnya sudah mula menunjukkan belang dan bukannya hanya menanti untuk turun sebagai tonggak gantian.

PARTIBAN GOL

Partiban mencetak dua jaringan gol bersama Kedah. — Facebook/KDAFC

Antara cara yang boleh dilakukan oleh anak jati Kedah itu adalah dengan menjaga kecergasannya sebagai seorang pemain dengan melakukan latihan peribadi lebih banyak bagi menarik lagi perhatian barisan kejurulatihan Hijau Kuning.

Malah, ketika sesi latihan juga Fayadh boleh melipat gandakan usaha dengan menunjukkan lagi bahawa dia masih memiliki kelincahan dan kepantasan untuk mengundang banyak masalah kepada pihak lawan.

Meskipun Fayadh tidak berupaya untuk membantu dari segi menambah akaun gol namun dia perlu buktikan bahawa masih boleh digunakan oleh Nafuzi untuk menambah perisa dalam jentera serangan KDA FC.

2) Destinasi sesuai jika berhijrah dari Kedah

Sejak bersama Kedah B dan mula diperkenalkan sebagai pemain skuad utama pada 2019, Fayadh masih setia menyarung jersi Sang Kenari walaupun sudah menyaksikan pelbagai rakannya memilih untuk kaki ke kelab baharu.

Sekiranya Fayadh ingin mencuba cari angin baharu selepas hampir lima tahun menabur bakti untuk skuad utama KDA FC, Perak FC dan Sabah FC antara kelab dijangka boleh menjadi destinasi sesuai untuk pemain bertubuh kecil itu.

Sabah FC boleh menjanjikan posisi sebagai penyerang sayap kiri untuk Fayadh dengan kini skuad The Rhinos hanya bergantung harap kepada tonggak import Indonesia, Saddil Ramdani.

Dengan keadaan Saddil yang sering dibelenggu dengan masalah kecederaan, kehadiran Fayadh mungkin boleh menjadi jawapan tepat untuk Datuk Ong Kim Swee mencari backup sekiranya terpaksa kehilangan khidmat pemain berkenaan.

RIZAL LATIHA

Rizal antara bekas pemain Kedah yang berhijrah ke Sabah FC. — Facebook/SabahFC

Malah, kehadiran beberapa bekas tonggak Kedah seperti Farhan dan Rizal Ghazali di kem Sabah FC boleh memudahkan Fayadh menyesuaikan diri untuk menjalankan kehidupan di kawasan baharu.

Bagi Perak FC pula yang kini mempunyai dua pemain muda di posisi tersebut iaitu Amirul Akmal dan Aris Asri pula memerlukan seorang tonggak berpengalaman untuk diturunkan dalam aksi penting menentang pasukan gergasi seperti Johor Darul Takzim.

Jika dibandingkan dengan pemain muda, tonggak berpengalaman seperti Fayadh lebih bijak dan tenang untuk membuat keputusan di atas padang.

Oleh itu, adalah wajar untuk meletakkan skuad The Bos Gaurus (TBG) antara pasukan yang sesuai untuk Fayadh mendapat minit permainan dan berkemungkinan berpeluang mendapat panggilan skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram