Meski berpeluang secara matematik, Kim Swee tetap alu-alukan tangga ketiga


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Sabah FC berpotensi untuk menentukan untung rugi antara Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC dalam perebutan tempat kedua Liga Super.

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.

DALAM istilah politik, Sabah FC berpeluang untuk menjadi kingmaker dalam menentukan kedudukan terakhir Kedah Darul Aman (KDA) FC pada penghujung saingan liga nanti.

Tapi skuad Sang Badak itu tidak akan hanya berpuas hati dengan kedudukan kingmaker melainkan mahu merealisasikan matlamatnya sendiri untuk sekurang-kurangnya mengekalkan tangga ketiga seperti musim lalu.

Mengakui Sabah FC masih berpeluang secara matematik untuk merampas kedudukan naib juara, ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, berkata di sebalik ia menuntut mereka memenangi baki empat perlawanan menentang Kelantan FC (29 Sept - A), Terengganu FC (24 Nov - A), Perak FC (3 Dis - A) dan KDA FC (17 Dis - H), ia masih bergantung kepada keputusan pasukan-pasukan lain.

“Masih ada banyak perkiraan jika kami mengharapkan untuk menjadi naib juara. Ia bukan saja terletak di tangan kami, (sebaliknya) ia akan memerlukan pasukan-pasukan seperti Selangor FC dan Kedah FC mencicirkan mata dalam baki perlawanan mereka.

“Di atas kertas ketika ini, Selangor FC yang kelihatan mempunyai kelebihan untuk mencapainya. Jadi, tangga ketiga adalah sasaran yang lebih realistik buat kami musim ini,” katanya kepada Bola Pegun.

371479093_684315780401783_5246877278750035175_n

Sabah FC masih ada peluang untuk meraih tempat kedua Liga Super. — Facebook/Sabah FC

Mengisi tangga keempat dengan 42 mata selepas 22 perlawanan ketika ini, Sabah FC cuma dipisahkan dua mata dengan KDA FC yang memiliki satu perlawanan dalam tangan. Dalam pada itu, mereka juga harus berwaspada dengan Sri Pahang FC (40 mata) serta baru menghabiskan 20 perlawanan.

Mengandaikan skuad Tok Gajah itu menang dua perlawanan berikutnya di tempat sendiri ke atas Kuching City FC (30 Sept) dan Terengganu FC (29 Okt), maka mereka akan melonjak ke tangga ketiga dengan 46 mata.

Seperti dikatakan Kim Swee, perkiraannya tidak mudah kerana Sri Pahang FC juga akan turut terbabit dengan aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City (KLC) FC pada 15 dan 23 September di samping baki perlawanan liganya berhadapan PDRM FC, Penang FC, Johor Darul Takzim (JDT) dan KLC FC.

“Jadi biarlah kami fokus kepada perlawanan kami sendiri dan lihat kemudian sejauh mana ia akan membawa kami. Tanpa mahu merendah-rendahkan Kelantan, keputusan perlawanan kami menentang Terengganu dan Perak di tempat lawan akan menjadi penentuan.

“Saya lihat pertemuan dengan Terengganu di tempat lawan (24 Nov) sebagai ujian penting dan akan menjadi titik peralihan buat kami.

“Jika kami menang ke atas Kelantan, Terengganu dan Perak, maka perlawanan terakhir dengan Kedah akan menjadi sangat menarik. Ketika itu, kami akan mengetahui kedudukan mereka daripada empat perlawanan sebelum itu di samping menilai kedudukan kami sendiri,” tambahnya.

370902522_335810332133484_1998582385355706547_n

Kedah Darul Aman FC akan bertemu Sabah FC pada aksi terakhir liga. — Facebook/KDA FC

Membandingkan kedudukan tangga ketiga musim lalu apabila Sabah FC menghimpun 42 mata daripada 22 perlawanan di belakang JDT dan Terengganu FC, Kim Swee menganggap saingan musim ini jauh lebih mencabar.

Selain baki aksi liga, kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia di samping aksi Piala AFC yang akan menyaksikan skuad The Rhinos itu turun berdepan kelab Singapura, Hougang United (21 Sept dan 30 Nov), PSM Makassar dari Indonesia (5 Okt dan 14 Dis) dan kelab Vietnam, Hai Phong (25 Okt dan 9 Nov), bermakna banyak perlawanan tambahan perlu diharungi dalam jadual yang padat.

Semua itu, bagaimanapun, bukan alasan untuk Sabah FC terpesong daripada sasaran utamanya menghabiskan aksi liga dalam kelompok teratas.

“Tahun lalu, dengan berbekalkan bajet sederhana, kami mampu menamatkan musim di tangga ketiga untuk layak beraksi di peringkat Asia.

“Jika kami dapat mengulanginya pada akhir musim ini, ia akan menjadi satu lagi pencapaian yang sangat bermakna,” katanya.

373330656_686726996827328_2046796235445818731_n

Sabah FC akan mewakili Malaysia dalam Piala AFC. — Facebook/Sabah FC

Kim Swee turut berterima kasih kerana dua pemain serangan, Ramon Machado dan Miguel Cifuentes, yang didatangkan ketika jendela perpindahan kedua lalu dapat mengimbangi kekuatan pasukan selepas kehilangan khidmat kapten, Baddrol Bakhtiar, yang memilih untuk terjun ke lapangan politik.

Baddrol, 35, menang DUN Gurun dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Kedah, 12 Ogos lalu, untuk kini bergelar ‘Yang Berhormat’.

“Dua kali sebelum ini saya menghadapi masalah dengan penyerang import yang tidak seperti dinyatakan dalam CV mereka. Tapi dengan ketibaan Ramon (bermula dengan perlawanan menentang Kuching City FC pada 8 Julai lalu), saya anggap saya dapat tuah kali ketiga.

“Dengan prestasi yang ditunjukkannya (enam gol setakat ini) dan Cifu yang sudah pulih daripada kecederaan panjang (selain jaringkan satu gol ketika tewaskan Negeri Sembilan FC, 26 Ogos lalu), kedua-duanya adalah pelaburan yang berbaloi,” katanya lagi.

Seperkara yang terus meresahkan ketua jurulatih itu ialah kealpaan pasukannya untuk kerap dibolosi selepas mendahului. Selesa dengan tiga gol di depan ketika berdepan Negeri Sembilan di Kota Kinabalu, mereka merelakan Hein Htet Aung mendapatkan gol sagu hati pelawat pada minit terakhir.

“Sudah kerap saya ulangi perkara ini. Kami tidak mampu untuk melepaskan gol seperti itu jika kami berharap untuk mengejar kedudukan tempat ketiga dalam liga sekali lagi,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram