[VIDEO] Aksi JDT-Kedah tak pernah bosan, 3 insiden hangat atas padang jadi bukti terbaik


  • Podium
  • Sabtu, 26 Ogos 2023

Layangan kad merah yang diberikan kepada Bergson (bawah) pastinya sukar dilupakan penyokong bola sepak tanah air. — Facebook/Gawang.my

AKSI Liga Super minggu ini bakal menyaksikan pertemuan hangat antara pendahulu, Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Pertembungan kedua-dua pasukan sebelum ini menyaksikan skuad Harimau Selatan membenam lawannya itu dengan keputusan 6-0 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 9 April lalu.

Aksi berkenaan jelas memberi tamparan terhadap pasukan Utara tanah air itu memandangkan segelintir pihak berasakan mereka mampu mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.

Namun, perkara sebaliknya pula berlaku apabila keputusan itu membuka mata orang ramai bahawa JDT sudah jauh meninggalkan pasukan-pasukan tempatan yang lain.

Jadi, pertembungan di Stadium Darul Aman, Kedah pada Sabtu pasti akan mencuri tumpuan penyokong Hijau Kuning dengan mereka beranggapan ia akan menjadi misi balas dendam buat anak-anak buah Nafuzi Zain.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga pastinya berharap KDA FC mampu mengikat pasukan pelawat memandangkan kemenangan akan mengesahkan kejuaraan Liga Super untuk tahun ke-10 berturut-turut buat JDT.

Oleh itu, peminat setia Sang Kenari sudah tentu akan meletakkan tanggapan bahawa beraksi di laman sendiri akan memberi suntikan semangat buat kesemua 11 pemain di atas padang.

Di samping itu, terdapat juga penyokong yang berharap agar pertarungan kali ini akan menyajikan situasi-situasi hangat seperti mana sering terjadi dalam beberapa pertembungan sebelum ini.

Meskipun ia hanya akan mencalarkan imej dan reputasi bola sepak tanah air, kejadian sebegitu dianggap hanya akan memberi lebih banyak tarikan selagi mana ia dapat dikawal sebelum perkara lebih buruk berlaku.

Berdasarkan pemerhatian terhadap lipatan sejarah mengenai pertembungan antara JDT dan KDA FC, terdapat tiga momen di atas padang yang semestinya sukar dilupakan penyokong kedua-dua pasukan.

1. Tumbukan Bergson ke atas Rodney Calvin

Kali terakhir JDT bertandang ke Stadium Darul Aman, Kedah adalah ketika aksi Liga Super 2022 dengan skuad Harimau Selatan ketika itu jauh meninggalkan tuan rumah dalam carta.

Perlawanan berkenaan sememangnya mencuri perhatian apabila pasukan Selatan tanah air itu memiliki kelebihan pada minit ke-12 hasil jaringan Ronald Ngah Wanja.

Namun, kegembiraan mereka tidak bertahan lama apabila penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva menjaringkan gol yang mengikat kedua-dua pasukan.

Kehangatan pertembungan tersebut tidak terhenti di situ apabila kontroversi tercetus antara tonggak JDT itu dengan bek tengah skuad Sang Kenari, Rodney Calvin.

Perkara itu berlaku ketika pergelutan antara kedua-dua pemain menyaksikan Rodney berjaya merebut bola, sekali gus menyebabkan Bergson terus mengejar lawannya itu.

Kekasaran yang dibuat Bergson ke atas Rodney dalam aksi Liga Super musim lalu.

Berang dengan situasi berkenaan, penyerang terbabit membuat tumbukan ke arah belakang kepala Rodney sehingga menyebabkan pemain pertahanan itu terbaring kesakitan.

Kejadian terbabit menyaksikan pemain kedua-dua pasukan mengeremuni kawasan terbabit dengan masing-masing berharap supaya pengadil perlawanan, Hamdan Awang membuat keputusan tepat.

Jadi, selepas perbincangan diadakan dengan pembantu pengadil, penyerang JDT itu kemudiannya dilayangkan kad merah beberapa minit sebelum wisel separuh masa pertama ditiupkan.

Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan kepada gaya permainan skuad Harimau Selatan yang masih beraksi dengan cukup baik untuk baki 45 minit permainan.

JDT kemudiannya mencatatkan kemenangan selesa 3-1 dengan Afiq Fazail dan Leandro Velazquez masing-masing menjaringkan satu gol pada separuh masa kedua permainan.

2. Terjahan keras Rizal ke atas Cabrera

Pada 2021, perlawanan lebih hangat berlangsung di antara kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Super yang diadakan di Stadium Darul Aman, Kedah.

Selepas beraksi untuk 45 minit, JDT dan KDA FC terikat tanpa jaringan dengan pemain seperti sudah bersedia untuk mendengar tiupan wisel panjang daripada pengadil perlawanan.

Tetapi, perkara sebaliknya pula berlaku apabila pertahanan sayap skuad Sang Kenari, Rizal Ghazali melakukan terjahan keras ke atas Gonzalo Cabrera pada masa kecederaan.

Meskipun ulang tayang memaparkan kekasaran itu tidak mengenai kaki pemain sayap JDT tersebut, pengalamannya beraksi di tahap tertinggi 'memaksanya' berlakon untuk berkelakuan sedemikian.

Insiden itu kemudiannya menarik perhatian pemain kedua-dua pasukan yang meminta agar pengadil melayangkan kad merah ke atas bekas pemain kebangsaan itu.

Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan diberikan ke atas Rizal selepas perbincangan dilakukan di tepi padang dengan pengadil berasakan terjahan dibuatnya tidak melanggar sebarang peraturan.

Keputusan berkenaan dilihat sukar diterima staf kejurulatihan JDT yang kemudiannya membantah pendirian itu sehingga menyaksikan mereka memasuki kawasan padang.

Namun, situasi pantas ditenangkan dengan pemain serta kakitangan teknikal kedua-dua pasukan turut meleraikan sebelum perkara lebih buruk tercetus.

Perlawanan itu kemudiannya berakhir dengan kemenangan berpihak kepada JDT apabila Bergson tenang menyempurnakan penalti pada masa kecederaan babak kedua permainan.

3. Kad merah Kunalan 'hadiahkan' Piala Sumbangsih 2017 untuk Kedah

Sejak 2015, JDT seperti tidak mempunyai sebarang cabaran dalam membawa pulang Piala Sumbangsih meskipun pasukan terbabit melakukan perubahan ketika jendela perpindahan.

Namun, pada 2017, skuad Harimau Selatan gagal mengungguli pertandingan itu apabila tewas dalam penentuan sepakan penalti kepada Kedah FA.

Skuad Sang Kenari ketika itu dilihat cukup bersemangat untuk memenangi perlawanan di Stadium Larkin, Johor dengan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe meletakkan barisan pemain terbaiknya.

Baddrol Bakhtiar, Liridon Krasniqi dan Ken Ilso merupakan antara yang diturunkan sementara JDT turut memberi tentangan cukup hebat berdasarkan kesebelasan utamanya.

jdt-vs-kedah-piala-sumbangsih-2017-kad-merah

Kunalan (bawah, kanan) selepas menjatuhkan Fakri Saarani. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tetapi, kelebihan lebih awal diperolehi skuad Harimau Selatan apabila kapten pasukan, Safiq Rahim mudah menjaringkan gol pada minit ke-41 menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, perancangan rapi mereka terbantut apabila pemain pertahanan, S Kunalan dibuang padang selepas mengumpul dua kad kuning.

Kekasaran lewat yang dibuat ke atas Fakri Saarani mendesak pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan membuat keputusan itu, sekali gus menyaksikan JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk separuh masa kedua.

Ia jelas memberi kesan buat pasukan terbabit apabila Baddrol Bakhtiar tampil mengikat kedudukan menerusi satu rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-63.

Kelebihan itu terus digunakan sehingga penentuan sepakan penalti apabila Kedah FA berjaya mengatasi JDT berikutan kegagalan Brian Ferreira untuk menyempurnakan tugasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram