[VIDEO] Nilai versatil Endrick dos Santos bakal jadi kunci kejayaan Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 15 Sep 2023

Endrick dos Santos merupakan salah seorang pemain naturalisasi Harimau Malaya. — Facebook/FAM

SEJAK Kim Pan-gon mengambil alih skuad kebangsaan, dapat dilihat beberapa pemain berjaya diserlahkan potensinya ketika beraksi.

Sebagai contoh, Akhyar Rashid merupakan pemain yang cukup klinikal dalam taktikal Pan-gon. Pemain sayap ini mungkin tidak kerap bermain untuk kelabnya, tetapi jika dipanggil untuk mewakili Malaysia pasti memberikan impak maksimum.

Selain Akhyar, terdapat satu lagi pemain yang turut mencuri tumpuan iaitu Endrick dos Santos. Namanya ketika dinaturalisasi tidak menerima respons yang baik daripada penyokong, akan tetapi sedikit demi sedikit pemain itu menonjolkan nilainya.

Menurut pemerhati bola sepak, Faiz Gurun, Endrick sedikit demi sedikit mula menjadi nadi penting kepada skuad Harimau Malaya kerana faktor kepelbagaian yang dimilikinya sebagai pemain tengah.

Endrick boleh dikatakan sebagai pemain idaman mana-mana jurulatih kerana faktor versatil. Letakkan saja di mana-mana posisi tengah, pasti boleh dilakukan dengan sempurna.

"Sampai sekarang, saya tak boleh nak kelaskan Endrick ini pemain tengah yang macam mana. Buat masa sekarang, tak perlulah kita kelaskan dia sebagai mana-mana pemain tengah.

"Ketika di Penang FC, dia bermain sebagai defensive midfielder. Saya pernah tengok dia bermain sebagai box-to-box di Johor Darul Takzim dan skuad kebangsaan. Dia juga pernah beraksi sebagai playmaker," kata Faiz dalam rancangan terbitan Astro Arena, Bola Itu Life.

Selain daripada faktor kepelbagaian, Endrick juga merupakan seorang pemain teknikal yang boleh menutup kekurangan skuad kebangsaan di bahagian tersebut apabila bertemu lawan lebih handal.

373650989_1006801937059709_5308464022906149118_n

Endrick dos Santos menghasilkan satu bantuan gol ketika bertemu Syria. — Facebook/FAM

"Enrick merupakan pemain yang sangat sesuai untuk diturunkan ketika menentang pasukan Asia lain yang mempunyai kemahiran teknikal lebih tinggi daripada Malaysia.

"Kalau empat, lima bulan yang lepas saya tak sangka dia akan jadi pemain utama kepada Malaysia. Tetapi melihat kepada prestasi di Liga Super sehingga skuad kebangsaan, saya rasa dia ada peranan yang cukup besar untuk dimainkan (dalam Harimau Malaya)," ujar Faiz.

Semasa Harimau Malaya beraksi di China, Endrick mencatatkan satu bantuan gol untuk jaringan Akhyar ketika bertemu Syria. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram