Mahu bangkit daripada kekalahan, 3 bintang tumpuan TBG bakal halang Sabah FC bawa bekalan selesa


  • Podium
  • Jumaat, 15 Sep 2023

Antara aksi perlawanan di antara Perak dan Kedah pada 3 Ogos lalu — Facebook/Kedah DA

PERAK FC pastinya mahu bangkit daripada kekalahan selepas tumpas di tangan Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam perlawanan Liga Super pada 27 Ogos lalu di halaman sendiri.

Skuad kendalian Yusri Che Lah akan memulakan perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia bertemu Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.

Selepas hampir dua minggu berehat, anak-anak buah Yusri pastinya sekali lagi mahu melakukan kejutan ke atas Sang Badak seperti mana yang mereka lakukan ketika menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di peringkat 16 Piala Malaysia sebelum ini.

Pastinya taktikal dan strategi digunakan oleh Yusri bakal menjadi tumpuan mata-mata seluruh penyokong bola sepak sama ada bertahan atau pun menyerang demi membawa bekal ke halaman sendiri pada 25 September nanti.

Majoriti senaraikan tiga pemain bintang yang bakal jadi tumpuan penyokong The Bos Gaurus sekali gus meranapkan impian Sabah untuk membawa bekalan selesa di Perak nanti:

Seo

Seo-nung menjadi sebutan penyokong Perak kerana berjaya merobek gawang gol Sang Kenari sebelum ini. — Facebook/Perak FC

1. Seo Seo-nung

Antara penyerang sensasi yang menjadi harapan Yusri untuk merobek gawang gol Sabah FC, Seo Seo-nung sudah menjaringkan lima gol dalam 11 perlawanan Liga Super musim ini.

Selepas aksi menentang Kedah tempoh hari, Seo-nung menjadi sebutan penyokong Perak kerana berjaya merobek gawang gol Sang Kenari meskipun beraksi dalam kecederaan.

Aksi lincah pemain kelahiran Korea Selatan itu memaksa pertahanan Kedah, Rodney Celvin melakukan terjahan ke atas sehingga mengalami kecederaan patah hidung.

Dengan rekod jaringan serta dibantu beberapa pemain berpengalaman, Seo-nung pastinya akan menjadi duri dalam daging buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Luka

Milunovic mampu beraksi di posisi sayap kiri dan tengah. — Facebook/Perak FC

2. Luka Milunovic

Luka Milunovic masuk menyertai Perak FC pada pertengahan musim ini sebagai pemain tengah menyerang.

Bagaimanapun, Yusri meletakkan pemain import kelahiran Serbia itu di beberapa posisi lain dalam perlawanan awal pasukan antaranya sebagai sayap kiri dan tengah.

Meskipun baru tampil dalam empat perlawanan, kehadiran Milunovic sememangnya memberikan suntikan pengalaman terhadap barisan serangan Perak FC dan ia terbukti hasil dua kemenangan diperolehi pasukan dalam dua perlawanan terakhir.

Pemain berusia 30 tahun itu turut merekodkan gol sulungnya dalam aksi ketiganya bersama Perak FC sebagai pemain tengah ketika membantu pasukan menewaskan KDA FC dalam saingan Piala Malaysia.

Wan Zack

Bersama Perak, Wan Zack tampil dalam 13 daripada 15 perlawanan Liga Super musim ini.

3. Wan Zack Haikal

Wan Zack Haikal kini menjadi antara tonggak utama yang dipilih bagi membarisi kesebelasan utama pasukan meskipun agak bergelut pada awal musim.

Bermula dengan perlawanan ketika menentang Sri Pahang FC pada 16 Mac lalu, pemain sayap kanan itu tidak lagi menoleh ke belakang apabila tampil dalam 13 daripada 15 perlawanan Liga Super.

Kemuncak kepada prestasinya itu dapat dilihat apabila dia dapat mencatatkan jaringan sulung musim ini ketika membantu kemenangan pasukan semasa menentang Penang FC pada 8 September lalu dan satu bantuan jaringan.

Dengan pengalaman panjangnya beraksi di Liga M, Wan Zack pastinya mampu hadir sebagai ancaman yang mampu mengecewakan Sabah dalam aksi kali ini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram