MESKIPUN berjaya membawa skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara ke saingan Piala Asia B-23 musim depan, ketua jurulatihnya, E Elavarasan terus diberikan tekanan daripada penyokong bola sepak tanah air.
Prestasi tidak menentu dalam peringkat kelayakan merupakan antara punca pengendali senior itu didesak ramai untuk meninggalkan posisinya.
Selain itu, kegagalannya untuk menerapkan satu gaya permainan positif menyebabkan orang ramai mahu melihat perubahan tersebut dibuat.
Namun, hasrat berkenaan pastinya sukar untuk diambil memandangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mahu membuat satu keputusan terburu-buru.
Bagi mereka, kehadiran Elavarasan sedikit sebanyak membawa satu kelainan selepas dia pernah bekerjasama di samping ketua jurulatih skuad senior negara, Kim Pan-gon.
Prestasi skuad muda negara masih belum berada di tahap terbaik. — Facebook/FAM
Selain itu, bekas pengendali Sarawak United itu dikatakan masih mampu menyuntik satu semangat buat pemain meskipun tanggapan berkenaan kerap ditolak sebahagian besar penyokong bola sepak tanah air.
Jadi, desakan mula dibuat di media sosial dengan mengatakan Elavarasan perlu digugurkan sekiranya Harimau Muda berhasrat untuk menampilkan prestasi lebih baik.
Di samping mahu melihat perubahan itu dibuat, ada juga yang mula menyenaraikan calon-calon terbaik melihat kepada kebolehan masing-masing.
Meskipun ia hanyalah satu cadangan tanpa sandaran yang kukuh, nama-nama disebut ramai itu seperti mempunyai kelebihan sepanjang karier tersendiri.
Berdasarkan pandangan yang dikongsikan di media sosial, terdapat tiga calon yang dipetik peminat bola sepak tempatan untuk menggantikan Elavarasan.
1. Nafuzi Zain
Cita-cita ramai untuk menyaksikan kelibat ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain bersama skuad kebangsaan bukanlah sesuatu yang baharu.
Selepas memulakan kariernya sebagai pembantu jurulatih Kelantan FA, pengendali muda itu dibawa ke sebuah lagi kelab Pantai Timur, Terengganu FC untuk meningkatkan kebolehannya.
Bersama skuad Sang Penyu, jurulatih berusia 44 tahun terbabit berpeluang menimba ilmu di samping pengendali terkenal tanah air, Irfan Bakti Abu Salim.
Namun, selepas jurulatih senior berkenaan digugurkan, Nafuzi diberi kepercayaan oleh pihak pengurusan kelab untuk dinamakan sebagai pengendali Terengganu FC.
Aura 'Nafuzi-Ball' diharapkan mampu dirasai skuad muda negara. — Facebook/KDA FC
Ketika itu, namanya mula meniti bibir penyokong bola sepak tanah air dengan ramai melihatnya sebagai antara jurulatih tempatan terbaik.
Malah, terdapat juga ura-ura yang mengatakan Nafuzi Zain akan berada bersama skuad kebangsaan ketika dia berdepan konflik kontrak dengan pasukannya itu.
Bagaimanapun, hasrat berkenaan tidak tercapai apabila jurulatih kelahiran Kelantan berkenaan memilih untuk mengendalikan skuad Sang Kenari.
Tetapi, sekiranya terdapat percubaan FAM untuk mendapatkan khidmatnya, cita-cita ramai untuk menyaksikan 'Nafuzi-Ball' bersama Harimau Muda pasti akan tercapai.
Namun, perkara itu pastinya sukar untuk direalisasikan memandangkan Nafuzi mempunyai satu hubungan baik bersama pihak pengurusan KDA FC selepas menghidupkan satu musim yang positif.
2. Pau Marti Vicente
Dalam landskap bola sepak di mana jua, terdapat kemungkinan besar seorang pembantu jurulatih akan diberikan mandat sekiranya pengendali sesebuah pasukan digugurkan.
Berdasarkan konteks skuad B-23 negara, pembantu kepada Elavarasan, Pau Marti Vicente merupakan calon paling dekat sekiranya terdapat perubahan diambil FAM.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan peminat bola sepak tanah air selepas berada dalam skuad kebangsaan sejak 2022.
Pelantikannya pada ketika itu turut menghangatkan suasana apabila ramai mengetahui bahawa Pau Marti pernah menimba pengalaman di Sepanyol bersama Barcelona B.
Pau Marti mempunyai pengalaman bersama Kim Pan-gon dalam skuad Harimau Malaya. — Facebook/FAM
Selain itu, jurulatih berusia 39 tahun itu juga mencuri perhatian penyokong bola sepak tanah air melihat kepada kebolehannya untuk membangunkan bakat muda.
Jadi, sekiranya Elavarasan digugurkan, terdapat juga harapan ramai yang mengatakan pengendali muda terbabit merupakan calon terbaik.
Meskipun tidak mempunyai pengalaman mencukupi dalam bidang berkenaan, Pau Marti masih dikatakan sesuai berdasarkan tempohnya bersama Harimau Muda.
Di samping itu, pengalamannya bersama akademi bola sepak di Sepanyol dan Hong Kong turut menjadikan namanya kerap didengari ramai.
3. Hairuddin Omar
Selepas menamatkan kariernya yang gilang-gemilang, bekas penyerang negara, Hairuddin Omar memilih untuk menceburi bidang kejurulatihan.
Antara langkah awal yang diambilnya adalah apabila dia bergelar pembantu kepada bekas pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak pada 2019.
Gandingan antara kedua-dua ikon bola sepak tanah air itu menjadi apabila pasukan yang dibimbing mereka menjuarai Kejohanan Piala AFF B-19 pada tahun yang sama.
Bagaimanapun, kerjasama antara mereka terhenti pada hujung tahun itu selepas Bojan memilih untuk menyertai kelab Indonesia, PSM Makassar.
Sumbangan Hai-O bersama skuad muda Sang Penyu sukar dipersoalkan. — Facebook/Terengganu FC
Tetapi, ia tidak menghalang Hairuddin untuk terus meningkat kebolehannya sebagai seorang jurulatih apabila dia kembali ke negeri kelahirannya tiga tahun kemudian.
Penghijrahan itu dibuat untuk membolehakannya bergelar pembantu kepada Nafuzi Zain bersama Tengku Hazman Raja Hassan.
Selepas membuktikan bakatnya dalam bidang kejurulatihan, pihak pengurusan kelab memilih untuk memberikannya peluang mengendalikan Terengganu FC II awal musim lalu.
Kehadirannya jelas dirasai skuad muda Sang Penyu apabila Hairuddin membawa pasukannya muncul sebagai juara Kumpulan A Piala MFL dan diteruskan dalam peringkat penentuan pemenang keseluruhan.
Sekiranya dia berjaya menjulang trofi itu akhir musim ini, tiada persoalan perlu diberikan mengapa 'Hai-O' perlu diberikan mandat bersama skuad B-23 negara.
Di samping mempunyai pengalaman bersama pasukan kebangsaan, kehadirannya juga dijangka akan menambah baik gaya permainan Harimau Muda seperti mana dapat disaksikan dalam Terengganu FC II musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram