'Masih banyak perlu diperbaiki', Kelantan United beri nasihat buat Harimau Muda


  • Podium
  • Khamis, 14 Sep 2023

Skuad B-23 negara diberi kritikan pedas sepanjang kempen Kelayakan Piala Asia B-23 atas prestasi tidak konsisten. — Facebook/FAM

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara mengesahkan tempat mereka dalam saingan Piala Asia B-23 tahun depan setelah muncul sebagai naib johan keempat kumpulan terbaik.

Kelayakan itu disahkan selepas Iran tewas kepada Uzbekistan pada Selasa, sekali gus memberikan tiket berharga tersebut buat Harimau Muda.

Bagaimanapun, pencapaian berkenaan masih belum diraikan rata-rata penyokong pasukan muda negara yang melihat masih banyak perkara yang perlu diberikan perhatian.

Antara yang ditekankan adalah mengenai persembahan tidak konsisten daripada anak-anak buah E Elavarasan dalam kesemua tiga perlawanan Kumpulan H.

Selain itu, mereka berpendapat pendekatan jurulatih berusia 62 tahun berkenaan juga sudah tidak sesuai jika Harimau Muda mahu memberikan tentangan kepada pasukan-pasukan Asia yang lain.

Perasaan sebahagian besar penyokong bola sepak tanah air itu diluahkan menerusi hantaran di media sosial dengan ruangan komen Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi tumpuan.

WhatsApp Image 2023-09-14 at 16.02.12

Tangkap layar memaparkan komen Kelantan United di laman Facebook rasmi FAM.

Tetapi, di sebalik pandangan yang diberikan itu, orang ramai menyedari satu luahan yang diberikan cukup mencuit hati selain menimbulkan tanda tanya.

Ia berikutan komen yang ditinggalkan kelab Liga Super, Kelantan United yang melihat pemain B-23 negara mampu menarik nafas lega selepas disahkan kelayakan mereka.

"Masih banyak perlu diperbaiki. Apa-apa pun raikan dahulu pencapaian layak ke Piala Asia. Tahniah Skuad B-23," tulisnya.

Komen itu diberikan sebagai respons terhadap hantaran yang dimuat naik FAM selepas laman Facebook rasmi Piala Asia mengucapkan tahniah kepada skuad kendalian Elavarasan.

Seperti dijangkakan, kenyataan Kelantan United itu hanya membangkitkan persoalan sementara ada yang lain berpendapat pesanan itu juga perlu dihadam kelab Pantai Timur berkenaan.

375471544_730054289134228_441122736138261086_n

Skuad Kijang Hijau bergelut dalam musim debut mereka dalam Liga Super. Facebook/Kelantan United FC

"Kelantan United pun sama, masih banyak yang perlu diperbaiki. Sama-sama nasihat," ujar Ikhmal Haqiem.

"Tak payah nak nasihatkan pasukan orang lain. Betulkan dahulu kelab anda, jangan berbual sahaja," kata En Ani Mu.

"Admin terlupa nak tukar ke akaun peribadi dahulu ke?" soal Mohammad Ramdhan dalam neda bersenda.

Ketika ini, skuad Kijang Hijau berada di tangga ke-12 Liga Super selepas mengharungi 21 perlawanan dengan hanya 11 mata dikumpul mereka.

Meskipun pelbagai perubahan diambil terhadap pemain dan barisan kejurulatihan kelab, mereka masih gagal mendapatkan rentak dalam divisyen teratas bola sepak tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram