'Malaysia anak emas AFC', fans Garuda tak puas hati Harimau Muda layak ke Piala Asia B-23


  • Podium
  • Khamis, 14 Sep 2023

Harimau Muda menjadi pasukan terakhir layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23. — Facebook/FAM

KEMARAAN skuad B-23 Malaysia ke pusingan akhir Piala Asia B-23 bukanlah satu perkara mudah untuk diraih. Harimau Muda perlu menunggu beberapa jam sebelum tempat mereka disahkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Semuanya terjadi gara-gara kedudukan sebagai empat naib juara terbaik menjadi tanda tanya. Adakah Malaysia atau Iran akan mengisi slot terakhir kuota tersebut?

Ramai penyokong kita yang gerun kerana skuad E. Elavarasan gagal menewaskan Thailand, seri pun tidak mampu. Dalam fikiran mereka, Malaysia sudah tidak layak ke Qatar pada 2024.

Namun begitu, nasib nyata memihak kita apabila berjaya menewaskan Iran dalam perebutan kuota terakhir sebagai empat naib juara terbaik menerusi tie-breaker.

Walaupun Malaysia dan Iran terikat dengan jumlah mata dan perbezaan gol yang sama, skuad Elavarasan berjaya mara kerana faktor fair play yang ditonjolkan sepanjang pusingan kelayakan. Malaysia berjaya layak kerana mengutip kad kuning yang lebih sedikit berbanding Iran.

Dengan layaknya Malaysia ke Qatar menjadikan Asia Tenggara memperoleh empat wakil di pusingan akhir iaitu Thailand, Vietnam dan negara yang pertama kali layak iaitu Indonesia.

Namun begitu, kalau sudah nama musuh tradisi, ada saja yang tidak senang dengan kemaraan Malaysia. Penyokong Garuda nyata tidak berpuas hati dengan fakta Harimau Muda adalah pasukan terakhir mara ke Piala Asia B-23. Kata mereka, kita adalah anak emas AFC.

"Anak emas AFC mestilah kena layak," kata penyokong bernama Ahmad Zailani.

"Macam-macam cara dilakukan AFC demi melayakkan Malaysia," ujar Rangga Tri Prayoga.

"Sudah jelas Malaysia anak (emas) AFC. Sepatutnya Iran yang layak ke pusingan akhir sebagai empat naib juara terbaik. Kalau betul kedua-dua negara miliki mata yang sama, patutnya diadakan perlawanan play-off untuk tentukan pemenang," komen Chesa Olivia pula.

378180903_1010110083395561_3058206062609396281_n

Malaysia jadi pasukan terakhir layak ke Piala Asia B-23. — Facebook/FAM

Lebih teruk, ada juga penyokong Indonesia mengatakan keberadaan ibu pejabat AFC di Bukit Jalil sebagai punca mengapa Malaysia sering mendapat layanan 'istimewa'.

"Kena ingat, pejabat AFC berada di Kuala Lumpur," tulis Ahmad Salim.

"Pejabat AFC kan berada di Kuala Lumpur," kata Syifa Aminulloh.

"Malaysia ketika main di kejohanan AFC begitu mudah (untuk layak) kerana ibu pejabat mereka ada di Malaysia. Jadi, AFC balas budi kepada Malaysia kerana sudah diberikan tempat untuk adakan ibu pejabat. Jadi tak hairanlah kenapa Malaysia selalu layak ke pusingan akhir kejohanan AFC," ujar Moch Hufronil Khalim.

Malaysia layak ke Piala Asia B-23 buat kali ketiga dalam sejarah. Sebelum ini mereka membuat kemunculan pada edisi 2018 dan 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram