Dalam setandan tak semuanya busuk, pakar pilih ubi Selangor & JDT paling menyerlah bersama Harimau Muda


  • Podium
  • Khamis, 14 Sep 2023

Aliff Izwan antara pemain paling menyinar ketika aksi kelayakan Piala Asia B-23 di Chonburi, Thailand. — Facebook/FAM

KEMPEN kelayakan Piala Asia B-23 telah berakhir dan tuah telah memihak Malaysia selepas berjaya layak ke pusingan akhir sebagai salah satu daripada empat naib juara terbaik.

Namun ibarat rumah siap tapi pahat berbunyi, kemaraan Malaysia tetap diiringi oleh kecaman penyokong yang tidak berpuas hati kualiti permainan ditampilkan skuad kendalian E. Elavarasan.

Pada hemat penyokong, Elavarasan perlu ditukarkan dengan jurulatih lain kerana pengendali berusia 61 tahun tersebut dilihat tidak kompeten membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Akan tetapi dalam setandan pisang, tidak semuanya busuk. Terdapat dua nama yang menarik perhatian penganalisis bola sepak ketika Malaysia mengharungi aksi kelayakan di Chonburi, Thailand.

Menurut Datuk Dr Pekan Ramli, dia amat tertarik dengan persembahan yang ditunjukkan oleh Aliff Izwan. Menurutnya, pemain tersebut mempunyai firasat yang baik dalam mencari gol.

375816327_1006812427058660_3573010480087360612_n (1)

Aliff Izwan menjaringkan gol ketika bertemu Bangladesh. — Facebook/FAM

"Saya rasa Aliff mempunyai firasat yang baik dalam mencari gol. Kualiti rembatannya juga elok serta penyudahnnya tajam untuk menghasilkan jaringan," katanya kepada Majoriti.

Selain daripada Aliff, Pekan juga memuji persembahan Fergus Tierney dalam memastikan jentera serangan Harimau Muda terus memberikan ancaman kepada pihak lawan.

"Saya juga perlu memuji persembahan Fergus Tierney. Saya melihat dia boleh menjadi gandingan yang baik kepada Aliff apabila menyerang," ujar Pekan.

Akan tetapi, Pekan berpendapat kedua-dua pemain ini perlu membaiki kualiti dalam melakukan keputusan. Hal ini kerana, Malaysia terlepas banyak peluang kerana kegagalan melakukan tindakan yang betul terutamanya dalam kotak penalti.

378521288_1010112190062017_9113868302950693061_n (1)

Fergus Tierney antara yang cemerlang bersama Malaysia. — Facebook/FAM

"Apabila mereka dalam kotak penalti, mereka mengambil terlalu lama masa untuk membuat keputusan. Jika mereka bertindak satu saat lebih awal, ia akan menghasilkan peluang menjaringkan gol untuk kita.

"Pemain kita harus berani mengambil half-chance. Ada masanya, saya nampak pemain seolah-olah tunggu sehingga pintu gol terbuka baru nak sepak bola masuk ke dalam gol," jelas Pekan.

Malaysia bakal tampil di pusingan akhir Piala Asia B-23 pada 2024 sebagai sebahagian daripada kuartet wakil Asia Tenggara di Qatar.

Selain Malaysia, Vietnam, Thailand dan Indonesia mewakili rantau Asia Tenggara di kejohanan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram