HARIMAU Malaya hampir memalukan China apabila berjaya mengikat pasukan yang berada di ranking ke-80 dunia itu 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, China pada Sabtu.
Dalam aksi itu, skuad negara bermula garang apabila berjaya merobek gawang China seawal minit pertama menerusi Darren Lok namun, gol berkenaan dibatalkan kerana pemain Sabah FC itu dikesan ofsaid.
Selang sembilan minit kemudian, Faisal Halim berjaya meletakkan skuad negara mendahului 1-0 menerusi satu hantaran Akhyar Rashid untuk mengejutkan puluhan ribu penyokong tuan rumah.
Usaha keras China mendapatkan jaringan penyamaan berhasil apabila satu gerakan sepakan percuma di luar kotak penalti dimanfaatkan Lin Liang Ming minit ke-36 yang melepaskan tendangan deras sehingga menewaskan Syihan Hazmi.
China melakukan beberapa percubaan berbahaya ke gawang Malaysia pada penghujung permainan, namun gagal untuk menambah jaringan dan keputusan kekal 1-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.
Cools mengetuai skuad negara berdepan cabaran China pada Sabtu.
Faisal yang menjaringkan gol mendapat tepukan dan sorakan oleh penyokong-penyokong tuan rumah semasa menuju ke bilik persalinan selepas ditemubual oleh media China.
Apa yang lebih menarik lagi, gelagat seorang wanita dipercayai polis China merekodkan momen ketika Faisal melambaikan tangan ke arah penyokong yang hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan itu.
Pemain berusia 25 tahun itu juga berasa bersyukur dapat mempamerkan aksi terbaik bersama Harimau Malaya meskipun digantung selama sebulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Alhamdulillah selepas saya digantung selama sebulan saya tidak beraksi, tetapi inilah rezeki Allah.
"Coach Kim memberi peluang kepada saya ini bukan untuk saya tetapi untuk rakan sepasukan, untuk rakyat Malaysia yang selalu sokong saya.
"Game malam ini (Sabtu), inilah untuk rakyat Malaysia, saya harapkan perlawanan selepas ini kita lebih berjaya dan lebih garang," katanya selepas perlawanan menentang China.
Selepas ini skuad kebangsaan sekali lagi akan dipanggil untuk berkumpul bagi menyertai kejohanan Pestabola Merdeka yang berlangsung pada Oktober.
Skuad kendalian Kim Pan-gon akan berdepan pasukan ranking ke-99 dunia, India sebelum membuat perhintungan bertemu sama ada Tajikistan atau pun Palestin di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram