'Ingatan saya baik', Pan-gon tahu strategi taktikal China


  • Podium
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan kapten skuad kebangsaan, Dion Cools. — Facebook/FAM

SETELAH menampilkan aksi meyakinkan ketika bertemu Syria pada Rabu, Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon optimis skuad Harimau Malaya mampu memberi tentangan sengit berdepan China pada perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China pada Sabtu.

Jurulatih Korea Selatan itu berkata, pengalaman ketika membimbing pasukan Hong Kong menentang China sebelum ini, memberi pengalaman buatnya mengatur strategi untuk menewaskan skuad negara ‘Tembok Besar’ itu meskipun lawan mereka berada di ranking lebih tinggi.

"Saya mempunyai ingatan yang baik. Kami menentang China semasa saya mengendalikan pasukan kebangsaan Hong Kong. Saya rasa sepanjang masa anda tahu apabila kita berdepan dengan China, kita menghormati sepenuhnya tahap China.

"Jadi kami merendah diri, belajar dan merancang pendekatan dengan baik. Pada masa ini, kami juga banyak mengkaji tentang pasukan China.

"Selepas mengetahui strategi taktikal skuad China, saya cukup yakin, semoga dapat memperagakan persembahan yang baik kepada China,” katanya menerusi rakaman audio yang dikongsi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pada Jumaat.

Rabu lepas, skuad Harimau Malaya yang menghuni kedudukan ke-136 dunia, bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Syria yang berada di ranking ke-94 dunia dengan keputusan 2-2 di Stadium East-Town Football Park, Chengdu.

Dalam pada itu, Pan-gon mahu anak buahnya mempamerkan corak permainan agresif bagi membentuk pasukan yang benar-benar mantap menjelang saingan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

Sementara itu, tonggak pertahanan negara, Dion Cools berharap rakan sepasukan dapat memberikan aksi terbaik ketika berdepan China.

"Tetapi seperti yang sering diperkatakan oleh jurulatih, kami cuba melihat prestasi, corak permainan dan penguasaan perlawanan dengan gaya tersendiri. Jadi ini akan menjadi perkara paling penting untuk kami esok,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram