TIGA gol dan tiga bantuan jaringan dalam empat penampilan di Liga Super dan Piala Malaysia membolehkan pemain tengah Terengganu FC, Engku Nur Shakir merangkul Anugerah Pemain Terbaik Bulanan.
Anugerah yang dianjurkan Persaturan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) itu diberikan berdasarkan undian tertinggi daripada orang ramai.
Pencapaian berkenaan pastinya cukup bermakna buat pemain berusia 24 tahun terbabit yang memulakan kempen Liga Super 2023 dengan langkah kiri.
Bagaimanapun, prestasinya mula ditambah baik apabila pengendali skuad Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner menurunkannya sebagai penyerang sayap.
Secara keseluruhan, Engku sudah mencatatkan lima gol dan tujuh bantuan jaringan dalam kesemua pertandingan, termasuk Piala Malaysia dan Piala FA.
Jadi, kecemerlangannya itu diharapkan mampu diteruskan untuk baki perlawanan buat Terengganu FC, lebih-lebih lagi ketika saingan Piala AFC 2023.
Engku Nur Shakir meraih undi paling banyak untuk diangkat sebagai pemain terbaik bulanan PFAM. — Facebook/Terengganu FC
Tetapi, cabaran besar turut menanti pasukan Pantai Timur tersebut apabila mereka dijadualkan bertemu pasukan di tangga kedua Liga Super, Selangor FC dalam peringkat suku akhir Piala Malaysia.
Aksi berkenaan dijangka akan memberi satu kesukaran buat skuad Sang Penyu memandangkan kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung menyaksikan skuad Gergasi Merah membenam lawannya dengan skor 5-1.
Namun, bagi Engku Nur Shakir, prestasi semasa pasukannya memberikan satu bayangan bahawa mereka sudah bersedia untuk berdepan kelab Lembah Klang itu.
"Saya melihatkan perlawanan menentang Selangor FC pada Sabtu ini akan menjadi sebuah perlawanan yang berintensiti tinggi kerana kita sudah di saingan suku akhir.
"Kedua-dua pasukan semestinya ingin mendapatkan jaringan dan kemenangan untuk motivasi terbaik dalam aksi kedua nanti," katanya.
Terengganu FC berjaya mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan pasukan Liga M3, Kuala Lumpur (KL) Rovers dengan agregat 7-0.
Engku (kanan) menjaringkan gol ketika aksi Liga Super bertemu Kelantan FC. — Facebook/Terengganu FC
Bagi Selangor FC pula, kemaraan mereka disahkan selepas menundukkan PDRM FC dengan agregat 5-3 dalam usaha mereka untuk melangkah ke final Piala Malaysia untuk tahun kedua berturut-turut.
Jelas Engku lagi, skuad Sang Penyu turut meletakkan misi untuk menghalang gawang mereka dibolosi di samping mahu meraih kemenangan bermakna.
"Saya cukup yakin dengan perancangan jurulatih. Di samping melihatkan semangat rakan-rakan sepasukan pada ketika ini, kami akan turun dengan aksi berbeza berbanding aksi liga menentang Selangor FC.
"Saya juga mengharapkan kehadiran penyokong ke stadium dapat menghangatkan aura stadium kita ini sepanjang perlawanan berlangsung kerana sorakan dari penyokong akan menambah motivasi kami sebagai pemain," katanya.
Pertembungan antara Selangor FC dan Terengganu FC pada Sabtu akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu sementara aksi timbal balik akan berlangsung pada 24 September di Stadium MBPJ, Selangor.
Di samping itu, skuad kendalian Tomislav juga akan berentap dalam saingan Piala AFC pada 20 September dengan perlawanan menentang kelab Australia, Central Coast Mariners. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram