TERLALU selesa tanpa saingan atau faktor umur?
Itulah yang bermain di benak fikiran setiap penyokong bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) tentang corak permainan yang ditampilkan oleh penyerang sensasi Harimau Selatan, Bergson da Silva.
Berusia 32 tahun, Bergson baru sahaja meledak dua gol ketika menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu.
Ketiadaan Diogo Luis Santo dan Fernando Forestieri tidak memberi banyak pilihan buat Esteban Solari untuk meletakkan calon lain sebagai individu yang mampu mengetuai barisan serangan Harimau Selatan.
Menerusi analisis Majoriti, graf rekod jaringan Bergson dalam lima perlawanan terakhir Liga Super tidaklah begitu menurun yang mana pemain kelahiran Brazil itu meledak enam gol serta tiga bantuan jaringan (assist).
Musim ini, bekas pemain Suwon Samsung Bluewings itu telah pun meledak 15 jaringan namun lima daripada gol tersebut menerusi sepakan penalti.
Bergson meraikan jaringan kedua ketika menewaskan Negeri Sembilan bersama rakan sepasukan. — Facebook/JDT
Ketika bertemu Negeri Sembilan, corak permainan yang mudah menjatuhkan badan dalam kotak penalti meskipun tiada sentuhan tidak digemari oleh segelintir penyokong pasukan selatan tanah air itu.
"Harap Bergson tak buat lagi jatuh macam itu, nampak macam saja jatuhkan badan. Kami nak gol yang berkualiti dari Bergson," kata Eddy Junior.
"Bergson dengan wayang memang tak dapat dipisahkan, kadang walau saya penyokong JDT pun kecewa dengan aksi dia itu," ujar Jay Ho.
Mungkin berdepan kelab Liga Malaysia mudah bagi Bergson untuk menewaskan benteng pertahanan pasukan lawan yang rata-ratanya dibarisi pemain tempatan.
Bekas penjaring terbanyak Liga Super 2022 itu juga bijak memanipulasi pengadil perlawanan yang terkenal mudah melakukan kesalahan dalam membuat keputusan.
Namun itu tidak akan berlaku di kejohanan antarabangsa apabila pengadil lebih tegas terhadap pemain yang suka melakukan 'diving' malah akan dilayangkan kad kuning jika didapati melakukan helah itu.
Bergson telah menjaringkan 15 gol dalam Liga Super setakat ini. — Facebook/JDT
Prestasi semasa Bergson serta corak permainan yang dilihat 'tamak' di atas padang membuatkan penyokong-penyokong Harimau Selatan mula bimbang apabila JDT akan membuka tirai Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan melayani kunjungan Kawasaki Frontale pada Selasa.
"Gopoh dan tamak, jika ia masih berlaku di perlawanan ACL agak merugikan buat pasukan. Rindu kelibat Foresteiri dan Leandro, JDT tempang tanpa seorang general yang sentiasa membuka ruang atas padang," kata Pyiena Fadly.
"Banyak 'finishing' yang tak cantik dan dah banyak berlaku dalam perlawanan sebelum ini, memang dia ada gol tapi banyak yang tersasar, macam mana nak lawan Kawasaki Frontale nanti," ujar Omar Bersaudara.
"Bergson dah banyak perlawanan serba tak menjadi, banyak peluang terlepas. Ketiadaan Forestieri betul-betul terasa, Bergson lebih fokus nak 'up' diri sendiri daripada pada 'passing' dekat rakan sepasukan," luah Eryn Zaifrien.
Bagaimana pula kata anda? Untuk rekod musim lalu, Bergson menjaringkan enam gol dalam enam perlawanan Kumpulan I yang mana dia turut melakarkan hatrik ketika JDT membenam gergasi China, Guangzhou FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram