KETUA jurulatih pasukan Korea Selatan, Jurgen Klinsmann diminta untuk segera mengosongkan posisinya sebagai pengendali negara itu selepas hanya merekodkan satu kemenangan sejak dilantik pada Februari lalu.
Setelah mengharungi enam perlawanan setakat ini, Korea Selatan akhirnya mencatat kemenangan pertama di bawah kendaliannya apabila menewaskan Arab Saudi dengan keputusan 1-0 dalam aksi persahabatan pada Rabu.
Dengan kempen Piala Asia akan berlangsung pada Januari ini, rata-rata penyokong Korea Selatan menzahirkan kerisauan mereka dan berharap agar berlaku pertukaran jurulatih sebelum kejohanan tertinggi Asia itu berlangsung.
Susulan kemarahan terhadap pengendali dari Jerman itu, penyokong negara republik tersebut sudah siap mencadangkan beberapa nama dan antara yang menarik perhatian apabila mereka menginginkan ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon untuk membimbing Korea Selatan.
Menerusi satu perbincangan di media sosial, Reddit, seorang penyokong Korea Selatan yang menggunakan nama akaun galvanickorea menyebut bahawa Pan-gon adalah calon sesuai untuk menggantikan Klinsmann.
“Semua orang perlu tahu betapa tidak cekap dan penuh rasuah FA Korea (Persatuan Bola Sepak Korea). Saya tidak menyalahkan Klinsmann pada ketika ini kerana kita semua tahu betapa dia tidak efisien dan tidak melayan perkara ini dengan serius. Tetapi FA masih memutuskan untuk mengambilnya.
“Kami mempunyai beberapa calon yang menakjubkan seperti Kim Pan-gon, kini ketua jurulatih Malaysia. Dia disokong oleh Encik Hong (Hong Myung-bo) dan orang lama dalam FA. Hong meninggalkan jawatannya dalam FA pada 2021 untuk melatih sebuah kelab domestik dan selepas itu orang kuat Kim (Pan-gon) telah meninggalkan FA,” katanya.
Tangkap layar komen dari penyokong Korea Selatan.
Menurutnya, disebabkan masalah tidak serasi dengan Persatuan Bola Sepak Korea, Pan-gon memilih untuk meninggalkan jawatannya sebagai Ketua Jawatankuasa Penyeliaan Pasukan Kebangsaan Korea Selatan pada musim lepas.
Sepanjang lima tahun memikul tanggungjawab itu, Pan-gon bersama berhasil Myung-bo membawa negaranya beraksi di Piala Dunia Rusia 2018 apabila sebahagian besar pemain dan kejurulatihan adalah di bawah kelolaannya sebelum ini.
Seorang lagi warganet Korea Selatan memuji Pan-hon itu kejohanan Piala AFF 2022 yang mana dia berhasil membawa Harimau Malaya sehingga ke peringkah separuh akhir walaupun tanpa pemain Johor Darul Takzim (JDT).
“Untuk menambah tentang KPG, dia melakukan tugas yang hebat sebagai jurulatih Malaysia. Semasa Kejohanan AFF sebelum ini, Johor Darul Takzim, yang dikenali sebagai Manchester City of Malaysia hampir memonopoli keseluruhan anggota pasukan kebangsaan Malaysia, enggan melepaskan pemain mereka kerana ia tidak disenaraikan dalam Kalender FIFA.
“KPG menggunakan mana-mana pemain yang tersedia untuknya dan di atas semua jangkaan pergi ke separuh akhir, kalah kepada pemenang akhirnya Thailand. Minggu lepas Malaysia seri 2-2 dengan Syria selepas ketinggalan 2-0 pada separuh masa, dan hampir menewaskan China. Kedua-dua pasukan jauh lebih tinggi dalam ranking,” kata linkin street.
Sekiranya, Korea Selatan ingin memujuk Pan-gon ia akan menjadi tamparan buat skuad kebangsaan dan disebabkan itu ada yang mencadangkan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disarankan untuk memberi tawaran kontrak jangka panjang kepadanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram