BAGI memastikan pemain berada dalam tahap kecergasan terbaik, Selangor FC memilih untuk mengadakan aksi persahabatan sepanjang tempoh berehat Liga Malaysia selama dua minggu bagi memberi laluan kepada Harimau Malaya untuk beraksi menentang Syria dan China.
Sebelum ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe memilih untuk bertemu kelab Liga 2 Indonesia, Persiraja Banda Aceh di Stadion Harapan Bangsa, Indonesia pada 27 Ogos lalu.
Kemenangan mudah diraih dalam perlawanan itu apabila skuad Gergasi Merah mudah menjaringkan tiga gol hasil sumbangan Abdul Rahman Daud, Yohandry Orozoco dan Faisal Halim.
Usaha mereka tidak terhenti di situ apabila Selangor FC sekali lagi mengadakan aksi persahabatan untuk bertemu kelab Liga 1 Indonesia, PSIS Semarang.
Pertemuan tersebut berlangsung di Stadium Jatidiri, Indonesia dengan ribuan peminat setia tuan rumah membanjiri venue berkenaan untuk menyaksikan aksi persahabatan tersebut.
Danial menjaringkan satu gol ketika mengikat PSIS Semarang. — Facebook/Selangor FC
Perlawanan persahabatan itu berakhir dengan keputusan seri yang mana Danial Asri, Rauf Salifu dan Ayron del Valle mencatatkan nama selaku penjaring buat Gergasi Merah.
Bukanlah aksi tiga nama penjaring itu yang menarik perhatian penyokong Indonesia, tetapi kelibat bintang import tengah, Alex Agyarkwa berjaya membuatkan seluruh Stadium Jatidiri bercakap mengenai persembahannya ketika mengemudi jentera tengah Selangor.
Di media sosial, penyokong Indonesia mula tertarik dengan corak permainan dipamerkan oleh Agyarkwa yang mana mereka menyamakannya dengan legenda Itali, Andrea Pirlo.
"Elok juga Selangor FC pinjamkan dia (Agyarkwa) ini musim depan, masih muda boleh pakai lama," kata @Akram_Albanjari.
"Main macam Pirlo, Agyarkwa mudah melepasi dua tiga pemain PSIS Semarang, harap boleh bawa ke Indonesia jendela kedua nanti," ujar @Duwev77.
Agyarkwa berjaya tarik perhatian penyokong Indonesia. — Facebook/Selangor FC
"Kualitinya bersama Selangor terhad, mungkin Agyarkwa boleh dibawa ke Liga Indonesia musim depan," jelas @Rafisahieb_Khan.
"Boleh 'join' pasukan Barito Putera di situ sudah ada bekas import Liga Malaysia, Makan Konate," luah @Ahmadfsiz99.
Untuk rekod, Agyarkwa menyertai Selangor pada 2021 secara pinjaman oleh kelab Ghana, Accra Lions yang mana dia telah melakukan 44 penampilan bersama skuad utama Gergasi Merah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram