
SELEPAS mengharungi pembukaan musim 2023 yang kurang memberangsangkan, pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner kembali menambat hati sebahagian penyokong kelab berkenaan.
Meskipun masih belum meletakkan skuad Sang Penyu dalam kelompok lima pasukan teratas Liga Super, kebolehan jurulatih kelahiran Croatia itu untuk menurunkan pemain muda sering diberikan pujian.
Sepanjang di bawah kendaliannya, beberapa graduan akademi kelab, seperti Ubaidullah Shamsul dan Safwan Mazlan sudah diberikan debut bersama skuad senior.
Ia merupakan satu gambaran jelas bahawa dia mempunyai kecenderungan untuk menurunkan ubi-ubi muda meskipun mengetahui pengalaman masing-masing belum mencukupi.
Dari segi pasukan pula, kelab Pantai Timur tersebut juga sudah berada dalam satu prestasi memberangsangkan selepas membawa pulang 11 mata daripada lima perlawanan terakhir Liga Super.
Safwan (kanan) merupakan antara pemain muda yang diberikan kepercayaan oleh Tomislav. — Facebook/Terengganu FC
Pencapaian itu sudah cukup untuk meletakkan Terengganu FC di kedudukan keenam dengan mereka masih memiliki peluang untuk merebut tempat dalam lima pasukan teratas liga.
Bagaimanapun, tumpuan skuad Sang Penyu ketika ini adalah pastinya untuk memberikan saingan terbaik dalam dua pertandingan berbaki, iaitu Piala Malaysia dan Piala AFC.
Selepas melepasi peringkat 16 pasukan, Terengganu FC bakal berdepan skuad Gergasi Merah dalam suku akhir Piala Malaysia pada Sabtu ini.
Pertembungan itu pastinya menghidangkan satu cabaran buat mereka apabila Tomislav perlu berhati-hati dalam memilih kesebelasan utamanya dengan mereka bakal beraksi di pentas Asia beberapa hari selepas itu.
Mengulas akan perkara tersebut, dia mengakui jadual pasukannya akan menjadi lebih padat dan ia memberi satu petanda untuknya melakukan perubahan terhadap pemain.
"Selain keletihan, sememangnya kami ingin mengelakkan para pemain mengalami kecederaan. Oleh sebab itu saya ingin setiap pemain sentiasa cergas dan bersedia kerana kita akan buat lebih rotasi pemain.
"Berkenaan persediaan untuk perlawanan Sabtu ini, pasukan berada dalam motivasi terbaik dan beberapa pemain yang sudah pulih dari kecederaan seperti Adisak Kraisorn telah kembali menjalani latihan," katanya.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu menyaksikan skuad Sang Penyu tewas 1-5 kepada Selangor FC. — Facebook/Terengganu FC
Jelasnya, terdapat kemungkinan mereka akan diturunkan, namun status masing-masing sebagai pemain gantian atau utama masih belum dikenal pasti.
Selepas berdepan Selangor FC, skuad Sang Penyu bakal menerima kunjungan pasukan dari Australia, Central Coast Mariners untuk aksi pembukaan Kumpulan G Piala AFC.
Ia merupakan penampilan pertama Terengganu FC di pentas Asia selepas mereka kali terakhir layak pada 2012 apabila mereka menjulang Piala FA pada tahun sebelumnya.
Tambah Tomislav lagi, pujian juga harus diberikan kepada pemain muda yang dimilikinya, termasuk Engku Nur Shakir yang dipilih sebagai pemain terbaik bulanan baru-baru ini.
"Peningkatan positif ini adalah atas usahanya di samping pemain ini faham peranan baharu yang diberikan kepadanya bersama pasukan pada musim ini.
"Saya boleh katakan dalam pasukan Terengganu FC ini, makin ramai pemain muda yang bakal menonjol selepas ini. Sebagai contoh, anda boleh lihat kualiti yang ada pada Safwan Mazlan, Ubaidullah Shamsul dan beberapa pemain lagi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram