NEGERI Sembilan FC (NSFC) bakal berdepan tugasan yang cukup sukar dalam aksi suku akhir Piala Malaysia apabila Johor Darul Takzim (JDT) datang menyinggah ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Tugasan sedia ada sudah cukup sukar apabila menentang pasukan begitu ampuh dari segenap posisi, tetapi ia disusahkan lagi apabila K. Devan kehilangan enam pemain untuk perlawanan ini.
Bercakap kepada Majoriti, Devan mengatakan beberapa nama seperti Sikh Izhan, Shahrel Fikri dan Hein Htet Aung yang terlibat dengan tugasan antarabangsa serta cedera.
Dalam analisis ringkas Majoriti, inilah yang boleh Devan lakukan untuk cuba mengekang asakan hebat Harimau Selatan. Walaupun sukar, tak salah untuk mencuba bukan?
1. Main dengan disiplin
Disiplin di sini mempunyai dua maksud. Pertama adalah pemain-pemain yang diturunkan mematuhi dan mengikut sepenuhnya perancangan yang dilakukan oleh Devan.
Devan berpotensi akan bermain secara bertahan untuk mengelak daripada diceroboh dengan kerap oleh JDT, oleh itu para pemainnya perlu beraksi dengan tersusun (organised) sewaktu 90 minit perlawanan.
Maksud disiplin yang kedua adalah tidak melakukan terjahan yang keras dan merapu terutamanya berdekatan dengan kawasan sendiri. Perkara ini sangat penting kerana jika pengadil yang bertugas adalah sangat tegas, pemain NSFC berpotensi boleh dihukum dengan kad kuning atau merah.
Selain itu, jika kekasaran dibuat berdekatan dengan kawasan sendiri ia boleh mengundang gol buat JDT.
Hein Htet Aung antara pemain tidak diturunkan bertemu JDT. — Facebook/NSFC
2. Paksa JDT ikut rentak
Menyedari JDT adalah pasukan yang lebih baik, ia adalah tindakan kurang bijak jika NSFC cuba bermain dengan rentak Harimau Selatan pada perlawanan nanti.
Sebaliknya, NSFC perlu memaksa JDT untuk bermain mengikut rentak mereka. Perkara ini termasuklah dengan keperluan Devan mencari helah untuk neutralised taktikal Harimau Selatan ketika perlawanan.
Pendekatan ini dilihat penting kerana JDT bermain bola sepak yang fluid dan sukar untuk dihalang jika tiada taktikal klinikal digunakan. Jika tidak dihalang, pemain-pemain NSFC akan mempunyai 90 minit yang sukar di Paroi.
3. Gol dari situasi bola mati
NSFC dijangka akan mengalami kesukaran untuk mencari gol menerusi permainan terbuka kerana JDT pastinya mereka akan menguasai bola sekali gus perlawanan itu sendiri.
Oleh itu, skuad Jang perlu mencari jalan mendapatkan gol tetapi menerusi situasi bola mati. Pada waktu ini, pemain-pemain lincah mereka diperlukan untuk membantu pasukan memperoleh sepakan percuma.
Herold Goulon boleh menjadi sandaran skuad Jang bertemu JDT. — Facebook/NSFC
Apabila memperoleh peluang untuk mendekati kawasan JDT, NSFC boleh cuba menjemput foul oleh pemain Harimau Selatan. Waktu itu, pengadil akan berikan sepakan percuma kepada mereka sekali gus peluang mencipta jaringan. Lebih baik, jika kekasaran yang dibuat adalah teruk maka kad akan dilayangkan.
Dalam bola sepak, sudah terbukti set-piece adalah salah satu cara untuk mendapatkan jaringan apabila peluang menerusi permainan terbuka seolah-olah tidak ada.
NSFC mungkin berdepan cabaran sengit daripada JDT, tetapi dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku. Jika kena pendekatannya, hasil positif boleh diraih mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram